PUTRAJAYA, 8 FEBRUARI 2021 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil maklum mengenai penutupan kilang pemprosesan ayam di Serkam, Melaka bermula 2 Februari 2021 atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) penting untuk mengawal kluster industri Serkam agar tidak terus menular disebabkan sebahagian besar pekerja disahkan positif COVID-19. Kilang tersebut merupakan salah satu kilang pemprosesan ayam utama yang membekalkan ayam ke seluruh Negara.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya telah bertindak awal dengan membuat pemeriksaan dan penelitian ke atas operasi kilang pengeluaran ayam tersebut untuk menentukan strategi dan tindakan susulan bagi memastikan keberadaan bekalan ayam tidak terjejas di kawasan edaran.
Kilang tersebut membekalkan ayam pedaging untuk Semenanjung Malaysia sahaja. Jumlah pengeluaran sebelum penutupan operasi kilang adalah sebanyak 150,000 ekor ayam pedaging sehari tetapi pengeluaran ayam pedaging tidak dapat diteruskan untuk suatu tempoh sementara sahaja.
“Bagi mengatasi risiko gangguan bekalan ayam pedaging, sebuah kilang pengeluar ayam di Pedas, Negeri Sembilan telah dilibatkan dan diarahkan untuk membantu memproses pengeluaran ayam pedaging bagi tujuan kelangsungan pengedaran bekalan,” ujarya.
Berdasarkan rekod, tiada sebarang aduan diterima oleh KPDNHEP di seluruh negara berkaitan kekurangan bekalan ayam di pasaran. Pemeriksaan harian dipergiat oleh Penguat Kuasa KPDNHEP untuk memantau keberadaan bekalan barangan pengguna, termasuk ayam daging dan telur sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sehingga 6 Februari 2021, sejumlah 248,749 premis telah diperiksa. Terdapat 11 jenis barangan keperluan utama pengguna diperiksa iaitu gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, sayuran, telur, bawang, ayam dan pelitup muka. Keberadaan bekalan barangan tersebut didapati pada tahap stabil dan mencukupi.
Kementerian berterusan mengadakan sesi libat urus dengan pihak industri ayam pedaging dan penelur bagi menyelia operasi pengeluaran untuk menjaga kestabilan bekalan ayam dan telur dari masa ke semasa.
“Semua pemain industri diingatkan, pematuhan SOP perlu dilaksanakan sepenuhnya apabila beroperasi. KPDNHEP boleh mengenakan tindakan kompaun dan menutup premis, sekiranya berlaku ketidak patuhan SOP PKP oleh pemilik premis perniagaan,” tambahnya.
Dato Sri Alexander juga menegaskan bahawa Kementerian sentiasa mengingatkan kepada semua pengeluar, pembekal dan peruncit tidak mengambil kesempatan menaikkan harga ayam dalam situasi pandemik. Kementerian mempunyai maklumat lengkap bahawa bekalan ayam seluruh negara adalah mencukupi dan tiada alasan berlaku kenaikan harga. KPDNHEP akan melaksanakan pemantauan di peringkat pengedaran dan ambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,“ tegasnya.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP