PUTRAJAYA, 6 FEBRUARI 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sangat prihatin dan mendengar rayuan pelbagai sektor perniagaan yang meminta untuk diberikan kebenaran beroperasi. Kementerian memahami keperluan untuk membuka semua sektor perniagaan kerana economy is essential dengan syarat kedua-dua peniaga dan pengguna patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya agar penularan wabak COVID-19 dapat dibendung demi kebaikan negara dan rakyat.
KPDNHEP akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuka sektor perniagaan yang lain. Kita sebolehnya mahu semua sektor perniagaan yang masih belum dibuka dibenarkan beroperasi dengan syarat semua pihak bersetuju untuk bekerjasama mematuhi SOP PKP di tahap yang tinggi. Walau bagaimanapun ini bergantung kepada hasil perbincangan dengan MKN yang sedang berjalan.
Demikian ditegaskan Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi ketika diminta mengulas mengenai permintaan dan rintihan peniaga dalam 14 sektor terbabit agar kerajaan sedia memberi pertimbangan untuk mereka menjalankan operasi perniagaan mereka.
Berliau berkata, KPDNHEP sedar akan masalah yang dialami mereka dan akan berusaha membantu mengetengahkan isu ini untuk diperbincangkan dalam mesyuarat di peringkat tertinggi.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan dan tinjauan ke sebuah kilang pengeluaran dan pembungkusan minyak masak sawit di Dengkil, Selangor. Katanya, lawatan ini bertujuan untuk beliau meninjau dari dekat berkenaan bekalan dan proses pengeluaran minyak masak sawit dari ladang ke kilang dan dari kilang ke pemborong dan peruncit. Ini berdasarkan maklumbalas yang Kementerian terima dari pengguna dan netizen yang bekalan minyak masak peket polibeg 1kg berkurangan di pasaran terutama di peringkat peruncit.
“Hasil tinjauan hari ini dan pemeriksaan pegawai penguatkuasa kami di seluruh negara termasuk pemeriksaan di bandar Muadzam Shah, Rompin baru-baru ini, saya sangat berpuas hati bahawa bekalan minyak masak peket polibeg 1kg amat mencukupi. Berdasarkan maklumat dari lapangan, kekurangan di sesebuah premis peruncit hanyalah bersifat sementara disebabkan kehabisan stok dan peruncit berkenaan sedang menunggu penghantaran baru dari pemborong mereka,” ujarnya.
Untuk rekod, sebanyak 60,000 metrik tan sebulan atau 720,000 metrik tan setahun minyak masak bersubsidi diperuntukkan dalam bentuk peket polibeg 1kg. Ini bersamaan dengan 60 juta peket 1kg sebulan atau 720 juta peket 1kg setahun. Jika dibandingkan dengan rakyat Malaysia yang berjumlah 32.7 juta orang, bermakna 1.8 kilogram sebulan atau 22 kilogram setahun untuk setiap rakyat (termasuk kanak-kanak).
Terdapat sebanyak 25 pengilang dan 296 syarikat pembungkus minyak masak di seluruh negara. Bagi tahun 2020, jumlah pengeluaran minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsidi adalah sebanyak 1,836,000 metrik tan setahun.
Pegawai Penguatkuasa Kementerian diseluruh negara sentiasa membuat pemeriksaan setiap hari bagi memastikan barang keperluan asas sentiasa stabil dan mencukupi. Bermula dari 1 Januari sehingga 4 Februari 2021, sebanyak 103, 906 premis diperiksa termasuk sektor pengilangan, pembungkusan, pemborongan dan peruncitan minyak masak di seluruh negara.
Pada tahun 2020 hanya 79 kes telah dihasilkan melibatkan penyelewengan minyak masak dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM 664,856.00.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKSH