Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

BEKALAN DAN HARGA BAWANG STABIL

photo6097940162966301509

KLANG, 26 JANUARI 2021 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ingin memaklumkan situasi terkini kedudukan bekalan dan harga bawang di pasaran yang telah kembali stabil dan boleh memberikan kelegaan kepada pengguna untuk kegunaan sebagai antara bahan pilihan dalam masakan.

Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi hari ini telah mengadakan  lawatan kerja dan pemeriksaan perniagaan bawang yang disertai  Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dr Alauddin  Sidal, Pengarah Penguat Kuasa, Azman  Adam dan Pegawai Kanan Penguat Kuasa Ibu pejabat dan Negeri Selangor di salah sebuah pengimpot terbesar di negeri Selangor hari ini.

Pemeriksaan itu memberi fokus kepada keberadaan bekalan dan harga bawang yang dibekalkan oleh salah sebuah premis perniagaan yang berperanan sebagai pengimport dan pemborong yang bertempat Klang, Selangor.

Lawatan ini juga, antara lain bertujuan untuk memastikan keberadaan bekalan bawang mencukupi untuk menampung permintaan pengguna dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2021 yang bakal tiba dalam masa terdekat. KPDNHEP komited bagi memastikan keberadaan bekalan barang keperluan harian seperti bawang stabil dan memenuhi permintaan pengguna dalam apa jua keadaan.

Katanya, hasil daripada lawatan tersebut menunjukkan bahawa bekalan bawang kini berada dalam keadaan yang stabil dan cukup untuk keperluan pengguna di Malaysia, dijangka sehingga bulan Ogos 2021. Ini adalah kerana negara pengimport utama bagi bekalan bawang iaitu India telah pulih daripada masalah banjir dan telah mula mengeksport bekalan bawang ke luar untuk memenuhi permintaan khususnya di Malaysia.

“Jumlah import bekalan bawang daripada negara luar dari Januari sehingga Disember 2020 adalah 489,297 metrik tan. Sebelum ini, sememangnya Malaysia sangat terkesan dengan kemasukan bawang dari negara pengimport, ini adalah kerana terdapat arahan larangan eksport ke atas semua jenis bawang. Langkah ini bertujuan untuk menampung keperluan domestik di negara mereka ekoran bencana banjir yang berlaku sejak bulan Julai 2020,” ujarnya ketika diminta mengulas hasil lawatannya ini.

Dato Sri Alexander juga meminta rakyat negara ini tidak gelisah dengan khabar –khabar atau cerita-cerita yang tular mengenai isu bawang ini kerana pihak kerajaan sentiasa prihatin terhadap masalah rakyat dan berusaha mengatasinya segera.

Bekalan bawang di Malaysia diimport dari 24 buah negara di mana lima negara merupakan pengeksport terbesar iaitu India (31%), Pakistan (24%), China (22%), Belanda (10%), Thailand (6%), New Zealand (3%) dan lain-lain (4%). Daripada jumlah ini, India merekodkan jumlah pengeksport bawang terbesar iaitu sebanyak 152,519 m/t. Permintaan tinggi bagi bawang dari India kerana ia memenuhi cita rasa rakyat Malaysia.

Terdapat lapan jenis bawang yang diimport ke Malaysia iaitu Bawang Kecil Merah Import (India), Bawang Besar Import (India), Bawang Merah Import (China), Bawang Kecil Merah Import (China), Bawang kecil Merah Rose (Import), Bawang Kecil Merah Import (Myanmar), Bawang Kecil Merah (Thailand) dan Bawang Besar Kuning (Holland).

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive