Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik inisiatif-inisiatif di bawah Pakej Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada 18 Januari 2021. Sebanyak 22 inisiatif telah diumumkan dengan suntikan dana sebanyak RM15 billion.
Bagi komuniti perniagaan yang terkesan sekali lagi dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 Januari 2021, sebanyak 15 inisiatif di bawah PERMAI disediakan bertujuan untuk menyokong kelangsungan ekonomi dengan pelaksanaan oleh pelbagai Kementerian dan Agensi
Menterinyanya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi melalui kenyataan medianya hari ini berkata, KPDNHEP komited untuk terus membantu meringankan beban peniaga, terutama pemain industri dalam sektor perdagangan dalam negeri. Pengumuman Perdana Menteri bagi menambahbaik Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit COVID-19 2020 dengan melanjutkan tempoh kuat kuasa ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual kepada 31 Mac 2021 amat dialu-alukan oleh Kementerian ini.
Penerusan pelaksanaan moratorium ini, yang meliputi perjanjian sewa beli atau kontrak pajakan dan kontrak jualan kredit, akan dapat terus dimanfaatkan oleh golongan yang terjejas seperti golongan B40, M40 dan perusahaan mikro yang gagal memenuhi obligasi kontrak mereka.
“KPDNHEP juga akan meminda beberapa akta di bawah seliaan Kementerian ini yang bertujuan untuk menambahbaik mekanisme penyelamat dan rehabilitasi bagi syarikat-syarikat yang berhadapan dengan masalah kewangan,“ ujarnya.
Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, bagi membantu komuniti perniagaan, KPDNHEP juga, melalui Program Prihatin Pandemik COVID-19 KPDNHEP bertemakan “Kurangkan Kesan, Rancakkan Perniagaan”, akan melaksanakan 29 inisatif bersasar, antaranya meliputi:
A. Kategori berbentuk moratorium
- Pengurangan kadar sehinga 60% ke atas kompaun yang dikeluarkan oleh Kementerian ini bagi kesalahan tertentu;
- Melanjutkan tempoh pendaftaran percuma bagi SSM BizTrust sehingga 31 Disember 2021;
- Pengurangan kompaun Bagi permohonan pembatalan Syarikat di Bawah Seksyen 549/550 Akta Syarikat 2016 sehingga 30 Jun 2021; dan
- Payment holiday bagi peminjam Dana Skim Pembiayaan Kecil Francais (SPKF) yang tidak mempunyai tunggakan melebihi enam (6) bulan; dan
- Skim 1 Pelajar, 1 Perniagaan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang akan memberi pendaftaran perniagaan secara percuma kepada pelajar sepenuh masa di IPTA dan IPTS tempatan yang ingin mendaftarkan perniagaan mereka di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956;
B. Kategori bagi Membantu Merancakkan Ekonomi
- Program “Franchise @ Marketplace”, iaitu kerjasama bersama dengan Shopee bagi mempromosi dan menjual produk francais secara atas talian;
- Penyewaan Kiosk/ Push Carts di Pasaraya terpilih bagi memberi peluang Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk memperkenalkan produk mereka kepada orang ramai di pasaraya terpilih, di samping meningkatkan imej dan meningkatkan jualan produk PKS di pasaran tempatan.
- Melanjutkan tempoh sah pemegang permit barang kawalan dari 1 tahun kepada 3 tahun dan pemegang permit khas barang kawalan dari 6 bulan kepada 1 tahun;
- Program “SSM Prihatin” bagi membantu peniaga-peniaga kecil dengan menawarkan bantuan yang paling sesuai semasa era pendemik COVID-19 agar komuniti ini dapat meneruskan perniagaan terutamanya dengan kehadiran pelanggan yang berkurangan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan; dan a. Memendekkan proses pengeluaran permohonan baharu permit barang kawalan dari 7 hari kepada 5 hari dan pembaharuan permit barang kawalan dari 5 hari kepada 3 hari.
“Kesemua inisiatif yang akan dilaksanakan oleh KPDNHEP ini bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan sektor perdagangan domestik, di samping memudahcara proses kerja, selaras dengan keperluan norma baharu di era pasca COVID-19 ini,” tambahnya.
KPDNHEP akan terus menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memastikan no one is left behind, selaras dengan hasrat Belanjawan 2021 “Teguh Kita, Menang Bersama”
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP