PUTRAJAYA, 20 JANUARI 2021- Ekoran laporan berlakunya kenaikan harga barangan keperluan seperti dilaporkan akhbar Malay Mail bertarikh 19 Januari 2021 di negeri Johor, Perak, Kelantan dan Pahang, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ingin memaklumkan telah melaksanakan pemantauan di peringkat pembekalan barang-barang keperluan di pasaran melalui penguatkuasaan OPS PASAR 2021 (sayur-sayuran) mulai 12 Januari 2021.
Sehingga 18 Januari 2021, sebanyak 258 premis peruncit dan pembekal telah diperiksa yang melibatkan 743 barangan yang terdiri daripada lima sayur-sayuran utama iaitu tomato, cili merah minyak dan kulai, lobak dan kubis bulat. Sebanyak 246 notis bertulis telah dikeluarkan kepada peniaga untuk memantau aktiviti kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan. Hasil daripada pemantauan awal tersebut mendapati memang ada berlakunya kenaikan harga barangan bagi barang basah termasuk sayur-sayuran.
Menurutnya Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Kementerian turut melaksanakan pemantauan harga jualan bagi minyak masak di pasaran. Sebanyak 266 premis telah diperiksa yang melibatkan 2,289 barangan minyak masak pelbagai jenama bagi botol 2 kg, 3 kg dan 5 kg. Hasil daripada pemantauan lanjut aduan kenaikan harga minyak masak juga, sebanyak enam notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 telah dikemukakan kepada peruncit untuk mengesan sama ada wujudnya sebarang elemen mencatut dalam transaksi jualan yang dilakukan bagi barangan yang diperiksa.
“Kementerian juga melaksanakan pemantauan terhadap barang-barang keperluan secara harian dan hasil pemantauan mendapati terdapat barangan yang mengalami kenaikan harga, penurunan harga dan tiada berlaku sebarang perubahan harga. Antara barangan yang menunjukkan peningkatan adalah sayur-sayuran seperti tomato dan sawi. Harga bawang yang diimport daripada pelbagai negara pengeluar menunjukkan berlakunya penurunan harga,” ujarnya menerusi kenyataan medianya hari ini.
Faktor musim tengkujuh di negeri-negeri di pantai timur serta perubahan cuaca yang terlampau sejuk di Cameron Highlands mempengaruhi harga barangan dan sayur-sayuran akibat kualiti dan kuantitinya berkurangan.
“Sehingga semalam (19 Januari 2021), sebanyak 750 premis telah diperiksa yang meliputi 558 peruncit, 163 pemborong dan 29 pengilang bagi memastikan kedudukan bekalan 11 jenis barangan keperluan asas mencukupi di pasaran. 11 barangan keperluan yang dipantau keberadaan bekalannya adalah gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, sayur-sayuran, ayam, telur, bawang dan pelitup muka,” tambahnya.
Menurut Dato Sri Alexander, kementerian akan terus memantau bekalan dan harga barangan di pasaran melalui tindakan penguatkuasaan yang berterusan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 khususnya pada tempoh Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) 2.0 ini bagi memastikan tiada berlakunya masalah kekurangan bekalan barangan keperluan dan kenaikan harga yang mendadak.
“Mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan melakukan aktiviti mencatut di bawah AKHAP 2011 atau mana-mana kesalahan di bawah AKB 1961 akan diambil tindakan yang tegas mengikut perundangan yang dikuatkuasakan,” tegasnya.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP