Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

3 PAKET MINYAK MASAK PEK POLIBEG 1 KILOGRAM BAGI SETIAP PELANGGAN

kpdnhepperiksapematuhan

PUTRAJAYA, 20 JANUARI 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini memutuskan untuk membenarkan penjual runcit mengenakan had pembelian minyak masak pek polybag 1 kilogram sebanyak tiga unit per transaksi untuk setiap pelanggan.

Kebenaran penetapan had pembelian tersebut berkuatkuasa pada 19 Januari 2021 dan ianya bertujuan untuk memastikan lebih ramai pengguna berpeluang memperoleh bekalan minyak masak yang diberikan subsidi Kerajaan.

Dalam satu kenyataannya, Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Haji Azman Adam berkata, KPDNHEP ingin memaklumkan minyak masak dalam bungkusan polybag 1 kilogram merupakan barang kawalan yang diberikan subsidi di bawah Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak (COSS).

Pihak Kerajaan komited dalam memastikan kestabilan keberadaan bekalan minyak masak polybag 1 kilogram yang diberikan subsidi untuk memastikan rakyat boleh mendapatkan bekalan minyak masak untuk kegunaan isi rumah dengan harga yang ditetapkan iaitu RM2.50 sekilogram, khususnya dalam cabaran situasi pandemik COVID-19.

,

“Adalah diingatkan kepada penjual runcit, kebenaran ini adalah terpakai kepada minyak masak pek polybag 1 kilogram sahaja dan perlu dijual dengan harga RM2.50 sekilogram. Tiada had pembelian perlu dikenakan ke atas minyak masak bukan dalam pek polybag 1 kilogram, “ ujarnya lagi.

Pada masa yang sama, KPDNHEP kekal konsisten mengawal selia aktiviti perdagangan dan pengedaran di negara ini bagi memastikan rangkaian pengedaran pemborongan dan peruncitan tidak terjejas sekaligus dapat memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa bekalan barangan keperluan asas dan penjagaan diri mencukupi di pasaran.

Arahan ini juga memastikan tiada perlakuan peniaga yang mengambil kesempatan memanipulasi harga dan bekalan minyak masak semasa pandemik COVID-19.

 

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive