PUTRAJAYA, 16 JANUARI 2021 – Kerajaan telah meneliti semula dan bersetuju bahawa terdapat keperluan bagi kedai cermin mata dan dobi layan diri untuk beroperasi.
Kebenaran beroperasi ini adalah bagi mengambil kira keperluan rakyat yang memerlukan perkhidmatan ini. Kebenaran ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang akan ditetapkan dalam prosedur pengoperasian standard (SOP) PKP yang akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDNHEP ), Dato Sri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan medianya hari ini berkata, KPDNHEP juga ingin mengingatkan pemain industrI dalam sektor perdagangan dan pengedaran supaya memastikan pematuhan SOP PKP dilaksanakan sepenuhnya di premis masing-masing.
“Kegagalan untuk memastikan SOP PKP dipatuhi boleh diambil tindakan seperti amaran, kompaun serta penutupan premis perniagaan. Sekiranya pematuhan ini masih gagal mencapai tahap yang memuaskan, Kementerian turut akan mengambil tindakan drastik termasuklah mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menutup terus operasi industri tersebut sewaktu pelaksanaan tempoh PKP,” tegasnya.
KPDNHEP berharap agar semua pihak terutamanya pemain industri dan pengguna mengambil peluang sepenuhnya pembukaan aktiviti ekonomi di bawah Sektor Perdagangan dan Pengedaran dengan mematuhi kesemua SOP PKP yang sedang berkuat kuasa. Tindakan serta kerjasama semua pihak akan dapat mengimbangi keperluan di antara kelangsungan ekonomi negara serta mengawal jangkitan COVID-19.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP