PUTRAJAYA, 15 JANUARI 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut memberikan komitmen dalam aspek penguatkuasaan pemeriksaan dan pengkompaunan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] terhadap pematuhan Standard Operating Procedure (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP yang telah diberi kuasa di bawah Akta 342 sepanjang tempoh PKP bermula 8 Mei 2020.
Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP telah diberi kuasa untuk memastikan pematuhan SOP PKP berhubung aktiviti-aktiviti dilarang yang disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan, Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Haji Azman Adam hari ini menyebut, penurunan kuasa yang telah diberikan kepada KPDNHEP adalah di bawah Peraturan-Peraturan berikut :-
Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengkompaunan Kesalahan-Kesalahan) (Pindaan) (No.11) 2020 [P. U. (A) 301/2020];
Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengkompaunan Kesalahan-Kesalahan) (Pindaan) (No.12) 2020 [P. U. (A) 308/2020];
Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengkompaunan Kesalahan-Kesalahan) (Pindaan) (No.8) 2020 [P. U. (A) 254/2020]
Menurutnya, KPDNHEP telah menggariskan gerak kerja untuk melaksanakan penguatkuasaan di bawah Akta ini dengan menetapkan sekiranya berlaku ketidakpatuhan SOP PKP, tindakan mengenakan kompaun sebanyak RM1, 000.00 boleh dikenakan.
“Pelaksanaan kebenaran membuka Sektor Perdagangan Pengedaran supaya terus beroperasi dalam tempoh PKP ini adalah demi menjaga keseimbangan ekosistem dan kelangsungan ekonomi yang memerlukan aktiviti urus niaga diteruskan beserta kawalan penguatkuasaan dan pematuhan SOP PKP, “ujarnya.
Kementerian menasihati dan memberi peringatan kepada semua pihak agar dapat memastikan pematuhan SOP PKP dilaksanakan sepenuhnya. Sekiranya pematuhan ini masih gagal mencapai tahap yang ditetapkan, Kerajaan boleh bertindak tegas termasuk melaksanakan penutupan premis.
“Adalah menjadi harapan KPDNHEP bahawa semua pihak terutamanya pemain industri dan pengguna bersama-sama bertanggungjawab memastikan Sektor Perdagangan Pengedaran tidak menyumbang kepada peningkatan jangkitan COVID-19 serta mengambil peluang sepenuhnya pembukaan aktiviti ekonomi di bawah Sektor Pengedaran Perdagangan dengan mematuhi kesemua SOP PKP yang sedang berkuat kuasa. “ tegasnya.
KPDNHEP juga konsisten bertanggungjawab mengawal selia aktiviti perdagangan dan pengedaran di negara ini bagi memastikan rangkaian pengedaran pemborongan dan peruncitan tidak terjejas sekaligus dapat memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa bekalan barangan keperluan asas adalah mencukupi di pasaran.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah bermula pada 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021. Pelaksanaan PKP bertujuan membendung penularan jangkitan COVID-19.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP