KAJANG, 6 JANUARI 2021 -, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Sri Alexander Nanta Linggi memberitahu bahawa Program Segar@Mesra adalah merupakan satu kerjasama strategik di antara dua buah kementerian yang mengawalselia produk-produk dan keperluan asas penduduk di negara ini serta Petronas Dagangan Berhad yang mempunyai akses kepada pemasaran bahan keperluan asas melalui rangkaian stesen minyak dan Kedai Mesra yang menyeluruh di seluruh negara.
Katanya, melalui kolaborasi ini, beliau yakin ia akan dapat membantu merealisasikan visi KPDNHEP bagi memperkasa sektor ekonomi domestik serta dalam masa yang sama, mampu melindungi kepentingan para pengguna di Malaysia.
“Kementerian berhasrat untuk mewujudkan ekosistem perdagangan dalam negeri yang lebih efisien melalui sumbangan daripada pihak pengeluar sendiri yang meliputi petani, nelayan dan penternak sekaligus dapat memendekkan rantaian bekalan serta dapat menjana pendapatan yang lebih kepada golongan ini.
“Secara tidak langsung, melalui pemasaran secara terus kepada pengguna ini, ia akan dapat menawarkan harga barangan keperluan pada harga yang secara relatifnya lebih rendah daripada pasaran setempat dan mampu mengurangkan kos sara hidup rakyat terutamanya dalam tempoh yang mencabar berikutan pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara pada masa ini,” katanya ketika berucap melancarkan Program Segar@Mesra di Stesen Petronas Prima Saujana disini, hari ini.
“KPDNHEP secara khususnya turut melaksanakan pelbagai inisiatif dalam mengatasi kos sara hidup rakyat di negara ini. Salah satu elemen dalam inisiatif mengurangkan kos sara hidup adalah elemen keberadaan yang akan memastikan capaian kepada bekalan barangan pengguna kepada rakyat tidak terjejas serta mengenal pasti strategi untuk meningkatkan akses barangan pengguna kepada rakyat,” ujarnya.
Program ini turut dilancarkan bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Sr. Ronald Kiandee. Hadir sama, Timbalan Menteri KPDNHEP, Dato’ Rosol Wahid, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad dan pegawai-pegawai kanan MAFI dan Petronas Dagangan Berhad.
Terdapat 12 inisiatif di bawah elemen keberadaan yang dilaksanakan oleh KPDNHEP di mana salah satu daripada inisiatif tersebut adalah bekerjasama dengan stesen minyak dalam memasarkan produk barangan basah dan segar beku.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP