PUTRAJAYA, 15 November 2022 – Bersempena kejohanan bola sepak Piala Dunia Fifa 2022 yang berlangsung pada 20 November 2022 hingga 18 Disember 2022 ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan pemantauan ke atas penjualan jersi tiruan di seluruh Negara.
Menurut Tuan Azman Adam, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, sebanyak 526 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM 11.6 juta sejak lima (5) tahun kebelakangan ini bermula 1 Januari 2018 sehingga 31 Oktober 2022. Penguatkuasaan yang melibatkan pelbagai jenis barangan lain juga dijalankan antaranya melibatkan makanan/minuman, kosmetik, bahan petroleum, barang elektrik, alat ganti kenderaan, alat komunikasi, perkakasan komputer dan sebagainya.
Selain itu, pihak KPDNHEP sentiasa menjalinkan kerjasama dengan pemilik cap dagang berdaftar (brand owner) bagi memastikan setiap aduan dan tindakan penguatkuasaan yang diambil di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan termasuklah aktiviti penjualan barang tiruan yang dilakukan secara dalam talian (online).
Sekiranya didapati melakukan kesalahan dengan menjalankan aktiviti penjualan barangan tiruan boleh diambil tindakan dan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 10,000 bagi setiap barangan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun bagi perseorangan. Manakala bagi suatu pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM 15,000 bagi setiap barangan yang disyaki tiruan.
Tambahnya lagi, KPDNHEP ingin memberi amaran kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan termasuklah dengan tidak menjual jersi tiruan bagi mengelakkan dikenakan tindakan yang tegas.
KPDNHEP juga akan mengambil tindakan penguatkuasaan lebih tegas tanpa kompromi di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 kepada mana-mana individu atau syarikat yang didapati bersalah dalam membekal dan menjual barangan tiruan atau menyediakan dan menyewakan premis bagi tujuan aktiviti penjualan barangan tiruan jika disabitkan kesalahan. Pengguna juga dinasihatkan untuk berhati-hati di dalam melakukan pembelian agar tidak mudah terpedaya serta tidak menyokong penjualan barang tiruan.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat