PUTRAJAYA, 2 NOVEMBER 2022 - Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menetapkan Harga Runcit Maksimum terkini bagi minyak masak sawit tulen yang dibungkus dalam botol di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) 2022. Perintah ini akan berkuat kuasa pada 8 November 2022 sehingga 7 Disember 2022.
Berikut merupakan Harga Runcit Maksimum bagi minyak masak sawit tulen dalam botol bagi tempoh tersebut. Minyak Masak 1kg (RM 6.90) minyak masak 2kg (RM 13.30), minyak masak 3kg (RM19.60) dan minyak masak 5kg (RM 30.90).
Seperti sedia maklum, kawalan harga ini dilaksanakan mengikut kaedah harga siling bergerak berdasarkan purata harga minyak sawit mentah dunia. Mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksima boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti berikut:
- Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan;
- Syarikat; boleh didenda sehingga RM500, 000.
KPDNHEP turut menggalakkan pengguna menjadi mata dan telinga kepada Kerajaan untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang membabitkan harga runcit minyak masak sawit tulen di pasaran secara rasmi melalui saluran rasmi Kemeterian.
Oleh : Unit komunikasi Korporat