Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

AKTIVITI SKIM PIRAMID DI PULAU PINANG DITUMPASKAN MELALUI 'OPS REWARD'

aktiviti skim piramid di pulau pinang ditumpaskan melalui ops reward

PUTRAJAYA, 25 Oktober 2022 - Pasukan Tindakan Khas, Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (National Anti-Financial Crime Centre (NFCC)) telah menjalankan satu operasi bersepadu bagi membanteras aktiviti skim piramid dan pelbagai kesalahan lain di sebuah pusat perdagangan di Jelutong, Pulau Pinang pada 19 Oktober 2022.

Menurut Tuan Azman bin Adam, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, operasi ini dijalankan hasil daripada maklumat aduan awam dan risikan pelbagai agensi penguatkuasaan. Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan telah menyita pelbagai dokumen, komputer riba dan telefon bimbit yang berkaitan bagi membantu siasatan bersama ini. Selain itu, sembilan (9) buah kenderaan mewah buatan BMW, Toyota, Maserati, Porsche dan Mercedes Benz serta pelbagai beg tangan berjenama mewah milik suspek turut disita.

Siasatan awal mendapati, syarikat ini disyaki menjalankan dan mempromosikan aktiviti skim piramid kepada orang awam menerusi aplikasi dalam talian dan penjualan pakej tertentu sejak beberapa tahun yang lalu. Ianya turut aktif melakukan aktiviti tersebut di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Sarawak dan negeri lain. Selain itu, syarikat ini juga dikesan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan lain.

Tambahnya lagi, kes disiasat di bawah subseksyen 4 (1) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid (AJLSAP 1993) iaitu menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen dan Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid (AJLSAP 1993) iaitu mempromosikan atau menjalankan skim piramid.

Orang ramai juga disarankan agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan skim-skim seperti ini bagi mengelakkan kerugian. KPDNHEP akan terus bekerjasama dengan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (National Anti-Financial Crime Centre (NFCC)), Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Cyber Security Malaysia (CSM) untuk membanteras aktiviti jenayah perdagangan yang boleh mendatangkan kerugian kepada rakyat dan Negara.

Akhir sekali, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan aduan yang lengkat kepada pihak Kementerian.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive