SERIKIN,23 OKTOBER 2022,AHAD – YBhg. Datuk Azman bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meneruskan lawatan kerja hari kedua dengan mengadakan lawatan ke Pos Kawalan Sempadan Serikin, Bau, Sarawak.
Menurut beliau, lawatan ini bertujuan untuk meninjau situasi semasa sempadan Malaysia - Indonesia di Serikin, Bau, Sarawak susulan pembukaan semula Pos Kawalan Sempadan Serikin bagi merancakkan kembali aktiviti perdagangan antara kedua - dua Negara, Malaysia – Indonesia selaras dengan pembukaan semula Pasar Serikin.
Selain itu, tujuan lawatan ini juga antara lain adalah bagi memperkukuh jaringan kerjasama antara pihak KPDNHEP dengan lain-lain agensi penguatkuasaan yang mengawal sempadan di kawasan ini seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan dan Majlis Keselamatan Negara Negeri Sarawak (MKN).
Dalam lawatan ini, antara isu yang diberi tumpuan adalah berkaitan mekanisme untuk membanteras aktiviti penyeludupan barang kawalan/bersubsidi melalui sempadan Serikin, Malaysia ke Indonesia seperti gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, petrol, diesel, gula dan tepung gandum dengan lebih berkesan.
Berdasarkan statistik penguatkuasaan KPDNKSH pada tahun 2022 bermula 1 Januari 2022 sehingga 30 September 2022 sebanyak 427 kes penyeludupan barang kawalan/bersubsidi di pintu-pintu sempadan Negara di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 telah berjaya dipatahkan di seluruh Negara melibatkan nilai rampasan berjumlah RM 69.74 juta.
Seterusnya, Kementerian akan terus mengadakan jaringan serta memperkukuhkan kerjasama dengan lain-lain agensi penguatkuasaan bagi mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan di sempadan Negara bagi mengatasi isu penyeludupan barangan kawalan/bersubsidi daripada terus berleluasa menerusi operasi bersepadu serta tindakan secara due diligence dengan mengadakan pengauditan di setiap rantaian pengedaran barang kawalan.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat