Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

PENGUMUMAN PELAKSANAAN SKIM HARGA MAKSIMUM MUSIM PERAYAAN DEEPAVALI 2022

pengumuman pelaksanaan skim harga maksimum musim perayaan deepavali 2022

PUTRAJAYA, 17 Oktober 2022 - Kerajaan akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022 yang akan dikuatkuasakan dari 20 Oktober 2022 hingga 26 Oktober 2022. Tempoh pelaksanaan adalah selama 7 hari dan berkuat kuasa pada 4 hari sebelum perayaan, 1 hari semasa perayaan dan 2 hari selepas perayaan. 

Menurut Datuk Azman bin Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, ayam dan telur ayam telah disambung pewartaannya sebagai barangan harga terkawal dan sedang berkuat kuasa mulai 12 Oktober 2022.

Sebanyak 8 jenis barangan harga terkawal berserta harga maksimumnya akan diwartakan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022.  Pengguna boleh melakukan semakan harga boleh dibuat melalui website Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di https://www.kpdnhep.gov.my.

Tambahnya lagi, tempoh pelaksanaan ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa pada masa kini, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga. Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga berpuas hati dengan tempoh masa pelaksanaan yang effektif. Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat ke atas peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.

Pegawai-Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan. Strategi ini membolehkan penguatkuasaan dan pemantauan dilaksanakan dengan lebih berkesan di mana tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna dan tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga sekiranya berlaku ketidakpatuhan.

Akhir sekali, sekiranya didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada Kementerian ini melalui aduan rasmi Kementerian.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive