PUTRAJAYA, 12 Oktober 2022 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA) menganjurkan Program Jelajah Francais Mikro dan Mampu Milik Zon Tengah Wilayah Persekutuan Putrajaya di Putrajaya Marriot Hotel, Putrajaya.
Ini merupakan siri jelajah terakhir yang dianjurkan pada tahun 2022 melibatkan 12 lokasi di seluruh negara bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai potensi serta peluang perniagaan francais berskala mikro dan mampu milik.
Program ini adalah salah satu komponen yang digerakkan di bawah inisiatif Program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik (F3M) KPDNHEP dalam usaha membangunkan industri francais berskala mikro dan menarik penglibatan lebih ramai rakyat, khususnya golongan B40 dan M40 untuk menceburi bidang perniagaan francais.
Sebanyak dua belas (12) siri jelajah F3M telah dianjurkan sepanjang tahun ini dengan penyertaan lebih 1,000 peserta dari seluruh negara. KPDNHEP turut menyampaikan Geran Penuh Program F3M kepada 11 francaisor dan bakal francaisor yang telah dinilai termasuk memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan oleh pihak Kementerian dan MFA.
Inisiatif Geran Penuh juga merupakan inisiatif di bawah Program F3M yang mensasarkan pihak francaisor untuk membangunkan pakej permulaan perniagaan francais mampu milik bernilai RM100 ribu ke bawah serta pakej permulaan perniagaan francais mikro bernilai RM50 ribu ke bawah.
Penyampaian geran ini telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Azman Mohd Yusof yang turut merasmikan Majlis Penyempurnaan Program F3M. Di bawah Program F3M yang diperkenalkan sejak tahun 2021, sebanyak 19 francaisor telah menerima manfaat daripada pemberian Geran Penuh manakala seramai 33 francaisi telah dilahirkan melalui inisiatif pemberian Geran Padanan.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat