Melaka, 4 Oktober 2022– Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka (KPDNHEP Melaka) mengucapkan selamat datang kepada Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (YDMDI) yang telah bersetuju menjalin kerjasama sebagai Rakan Strategik Utama (RSU) bagi menjayakan Program Food Bank di peringkat Negeri Melaka.
KPDNHEP amat mengalu-alukan penglibatan pemain industri peruncitan dan pengedaran serta perhotelan dan katering untuk terlibat sama meningkatkan bank makanan dan menyantuni lebih ramai golongan yang memerlukan terutama golongan B40 dan siswa yang memerlukan di Pusat Pengajian Tinggi. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka yang bertempat di Autocity, Ayer Keroh, Melaka.
Program Food Bank Malaysia (PFBM) ini merupakan salah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan sejak tahun 2018 yang bertujuan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat selain mengurangkan pembaziran makanan yang masih boleh digunakan. Sehingga 3 Oktober 2022, sejumlah 684,056 isi rumah menerima manfaat Food Bank Komuniti.
Tumpuan KPDNHEP adalah tertumpu kepada PFBM Siswa dan turut menyantuni golongan B40 dan mereka yang ditimpa bencana seperti banjir yang melanda negara tahun lepas. Sehingga kini, seramai 20,951 siswa di enam (6) buah kampus IPT di Melaka telah menerima manfaat program ini.
Untuk pengetahuan, pihak Kementerian juga telah melaksanakan inisiatif baru di bawah PFBM iaitu Pembungkusan Makanan secara teknologi Retort. Sebagai makluman, inisiatif teknologi Makanan Retort ini telah dilaksanakan bersama Rakan Strategik Retort di dua belas (12) penempatan terdiri daripada sektor perhotelan, katering dan pembuat makanan berasaskan pertanian. Ini merupakan sebahagian usaha dan langkah inovatif pihak Kementerian untuk membantu golongan yang memerlukan.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat