PUTRAJAYA, 30 September 2022 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang meneliti saranan mengenai keperluan untuk mengawal selia pusat yang menawarkan perkhidmatan rawatan kecantikan.
Menurut YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam sektor perdagangan dalam negeri dan kebajikan pengguna, beliau berkongsi keprihatinan yang sama dan adalah menjadi perancangan kementerian untuk mengawal selia sektor kecantikan di Malaysia bagi memastikan industri ini dilaksanakan dengan teratur dan sistematik demi keselamatan pengguna.
KPDNHEP sentiasa menjalankan sesi libat urus bersama pemain industri pusat kecantikan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mencari kaedah pengawal seliaan yang terbaik ke atas industri kecantikan di negara ini, dengan jangkaan nilai pasaran bernilai lebih dari USD999 juta menjelang 2026.
Selain itu, industri ini juga berpotensi untuk memberikan sumbangan yang besar kepada ekonomi negara. KPDNHEP mengambil langkah proaktif untuk meneliti kepelbagaian aspek dalam industri rawatan kecantikan, yang antaranya melibatkan permintaan pengguna, rantaian nilai, penggunaan teknologi dalam trend semasa rawatan kecantikan dan keselamatan pengguna.
Sehubungan dengan itu,, satu sesi libat urus KPDNHEP bersama United Kingdom’s Vocational Training Charitable Trust (VTCT) telah diadakan baru- baru ini. VTCT adalah sebuah pusat latihan kecantikan yang diiktiraf oleh Ofqual, sebuah agensi Kerajaan UK yang melaporkan secara terus kepada Parlimen UK bagi urusan kelayakan dan perundangan yang melibatkan latihan vokasional termasuk latihan rawatan kecantikan.
Dato Sri Alexander memaklumkan, dalam perbincangan tersebut beberapa aspek penting telah diberi perhatian. Antaranya:
- Pendaftaran pengusaha pusat kecantikan dan pekerja dengan memastikan mereka mendapat latihan kemahiran kecantikan daripada badan yang diiktiraf,
- Memastikan mesin dan peralatan yang digunakan adalah peralatan yang didaftarkan,
- Pengendalian kursus kemahiran, modul dan pensijilan dari badan yang diiktiraf ,
- Melindungi pengguna melalui perlindungan insurans, dan
- Bahan-bahan dalam rawatan adalah yang disahkan selamat oleh
Kesemua usaha yang dijalankan ini diharap dapat membantu memperkukuhkan industri kecantikan yang bukan sahaja dapat menjana pendapatan kepada negara tetapi juga menjamin kualiti keselamatan pada tahap yang tinggi kepada pengguna.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat