PUTRAJAYA, 28 September 2022- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menerima aduan mengenai penjualan kad Komunikasi Medan Dekat (NFC) Touch ‘n Go (TnG). Kesukaran bagi mendapatkan bekalan kad NFC ini telah menyaksikan wujudnya penjualannya di beberapa platform pasaran dalam talian dengan harga yang berlipat ganda.
Menurut YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Pengguna, bagi tempoh dari April hingga 25 September lalu, sebanyak empat aduan rasmi mengenai kad NFC ini telah diterima. Selain itu, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP juga telah mengesan 13 iklan jualan membabitkan beberapa platfrom dalam talian. Berdasarkan semakan dan maklumat daripada pengelola platform pasaran, sebanyak 11 premis merangkumi kediaman peribadi serta bangunan perniagaan diperiksa berhubung kes sama.
Berdasarkan siasatan awal, kes penjualan kad NFC turut membabitkan pekerja di kaunter pembayaran sebuah stesen minyak. Individu berkenaan didapati menjual sekeping kad NFC yang asalnya berharga RM10 (tanpa ada sebarang kredit di dalamnya) pada kadar lebih lima kali ganda, menerusi platform pasaran dalam talian.
Sebanyak enam notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan kepada pihak terbabit, yang antara lain menuntut supaya maklum balas atau penjelasan rasmi perlu dikemukakan kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP. Kegagalan berbuat demikian, pihak terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21(5) AKHAP 2011 kerana enggan atau gagal mengemukakan maklum balas.
Tambahnya lagi, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP dan pengurusan kanan kementerian seterusnya akan mengadakan pertemuan dengan syarikat TnG, yang dijangka akan berlangsung dalam masa yang terdekat. Pertemuan berkenaan antara lain bertujuan untuk mendapatkan status kaedah semasa penjualan dan isu kekurangan bekalan kad NFC seperti dikemukakan ramai pengguna.
Orang ramai boleh terus menyalurkan aduan dan maklumat kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP serta salura-saluran rasmi KPDNHEP berhubung isu sama untuk tindakan lanjut dalam talian, sebanyak 11 premis merangkumi kediaman peribadi serta bangunan perniagaan diperiksa berhubung kes sama.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat