PUTRAJAYA, 21 September 2022 – Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan serbuan ke atas dua (2) buah premis berasingan yang terletak di dalam sebuah pusat membeli-belah di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang menjual alat teknologi penstriman (android box) pada 15 September 2022.
Menurut Tuan Azman Adam, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP serbuan yang dilakukan hasil daripada maklumat pemilik hak cipta serta risikan awal yang telah dilakukan oleh pihak KPDNHEP selama beberapa hari sebelum itu.
Hasil pemeriksaan k etas dua premis terbabit, pihak KPDNHEP telah merampas sebanyak 11 unit alat teknologi penstriman berserta dokumen yang berkaitan yang disyaki mengandungi karya hak cipta yang dituntut haknya oleh pemilik hakcipta yang membuat aduan kepada Kementerian dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 7,500.00.
Tambahnya lagi, pasukan serbuan juga telah bertindak menahan dua (2) individu lelaki warganegara tempatan berumur lingkungan 20-an yang mengaku sebagai pemilik dan pekerja di premis yang terbabit untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987 iaitu melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan menjual suatu teknologi penstriman.
Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM 10 000.00 dan tidak melebihi RM 200,000.00 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
Pihak KPDNHEP telah menambahbaik Akta Hak Cipta 1987 melalui pindaan kepada Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang telah berkuatkuasa mulai 18 Mac 2022 lalu. Ia memberi penekanan dalam usaha pihak Kementerian untuk membanteras pelanggaran hak cipta secara dalam talian atau cetak rompak digital ini dengan lebih berkesan.
Pihak Kementerian juga ingin mengingatkan kepada semua peniaga agar tidak menjual alat teknologi penstriman seumpama ini. Tindakan penguatkuasaan serta pemantauan yang berterusan dan tegas akan dilakukan oleh pihak Kementerian kerana alat teknologi penstriman ini berupaya untuk melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya hak cipta yang dilindungi.
Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga berhubung perkara ini boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluranrasmi yang disediakan.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat