PUTRAJAYA, 13 SEPTEMBER 2022, SELASA- YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Anggota Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Tahun 2022 di The Zenith Hotel, Putrajaya.
YB Menteri telah menyampaikan rasa penghargaan kepada anggota-anggota tribunal yang begitu komited dalam menjayakan tugas mereka.
KPDNHEP telah mencapai usia 32 tahun sejak penubuhan pada 27 Oktober 1990 dan TTPM ditubuhkan di bawah Seksyen 85, Bahagian Xll, Akta 599 sebagai satu platform alternatif kepada Mahkamah Sivil untuk pengguna memfailkan tuntutan tebus rugi bagi pembelian barang dan perkhidmatan dengan nilai sehingga RM 50,000.00. Dengan slogan mudah, murah dan cepat pengguna boleh memfailkan tuntutan terhadap penjual barangan atau penyedia perkhidmatan yang tidak beretika.
Kini, TTPM juga telah mengorak langkah mengendalikan prosiding pendengaran kes secara dalam talian sebagai pemudah cara bagi perbicaraan yang melibatkan pihak pihak yang menghadapi kesukaran jarak perjalanan yang jauh dan juga faktor kesihatan.
Anggota Tribunal juga telah berjaya melupuskan pendengaran pertama ke atas 2,500 kes kes tertangguh dalam tempoh lima (5) bulan pertama 2022 akibat penularan pandemik Covid-19 sepanjang tahun 2021 adalah sungguh membanggakan. Pencapaian ini jelas menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bagi dalam kalangan Anggota Tribunal untuk melaksanakan tanggung jawab yang telah diamanahkan.
Selain itu, turut berlangsung majlis pelantikan watikah 2 anggota tribunal yang baharu iaitu Puan Larina Wong Shiao Yee dan Tuan Joseph Kahell Baleng.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP- YBhg. Datuk Azman bin Mohd Yusof, Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna & Pengurusan)-YBhg. Datin Roszanina Wahab, Pengerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia- YBrs Tuan Hamidun Bin Datuk Haji Abdul Fatah.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat