Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

MYIPO MENGANUGERAHKAN GERAN DANA PEMFAILAN HARTA INTELEK BERJUMLAH RM428,697 KEPADA 1,181 PENERIMA

PUTRAJAYA, 13 September 2022 – YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan edisi Bulan September 2022 yang dihoskan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Sektor Barang Kawalan dan Subsidi di Dewan Serbaguna KPDNHEP, Putrajaya.

Pada majlis hari ini, MyIPO telah menyampaikan Dana Pemfailan Harta Intelek kepada lima (5) orang penerima yang mewakili 1,181 penerima dengan jumlah geran bernilai RM 428,697.00. Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 merupakan geran pembiayaan pemfailan harta intelek berjumlah RM4 juta bagi tempoh empat tahun, di mana RM1 juta diperuntukkan setiap tahun yang bermula pada tahun ini hingga 2025 di bawah Rancangan Malaysia ke-12.

Yb Menteri berkata bahawa pihak Kementerian menyeru supaya lebih ramai usahawan tampil memanfaatkan tawaran Dana Pemfailan Harta Intelek ini bagi memperolehi hak eksklusif ke atas jenama, reka cipta, reka bentuk, dan karya yang mereka cipta dan miliki. Usahawan juga perlu memastikan harta intelek yang didaftarkan dieksploitasikan seoptimum mungkin agar dapat menjana pulangan yang maksimum terhadap pelaburan yang telah dibuat.

Turut berlangsung, majlis Pelancaran Buku 100 Hari Mengharmonikan Organisasi & Ekonomi oleh YBhg. Datuk Azman Mohd Yusof, Ketua Setiausaha KPDNHEP. Untuk pengetahuan, pelancaran buku ini adalah merupakan kajian semula dasar perundangan, pemantapan modal insan, pembangunan teknologi digital & proses kerja Kementerian Perdagangam Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)

Seterusnya, selari dengan pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November depan, YB Menteri telah mengarahkan bahagian-bahagian berkenaan dan Pejabat KPDNHEP Negeri untuk bersiap sedia dalam memastikan bekalan barangan keperluan sentiasa mencukupi terutama di negeri-negeri yang dijangka terjejas tanpa memberi kesan yang tinggi terhadap harga barang-barang keperluan tersebut. Pegawai-pegawai akan memaklumkan strategi yang akan diambil samada dari segi peningkatan stok mahupun perancangan logistik pengedaran ke negeri-negeri tersebut.

Beliau turut mengarahkan Sekretariat Food Bank Malaysia dan Rakan-Rakan Strategiknya  untuk meningkatkan pengumpulan bahan-bahan makanan kering dan makanan bermasak yang telah diproses melalui teknologi retort untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan yang terjejas dengan musim tengkujuh akan datang.  

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive