BANDAR BARU BANGI, 23 Ogos 2022 – Yang Berhormat Dato’ Rosol bin Wahid, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah menyempurnakan Perasmian Majlis Penutup Prosenium Pengguna Universiti Awam 2022 yang telah diadakan di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Program Prosenium Pengguna Universiti Awam 2022 merupakan anjuran bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM).
Program ini merupakan satu pertandingan seni teater bertemakan kepenggunaan dengan penekanan kepada empat (4) modul kepenggunaan iaitu perlindungan pengguna, pengurusan kewangan berhemah, pemakanan sihat serta kelestarian alam sekitar. Antara objektif utama program ini adalah bertujuan untuk menyebarluas pendidikan kepenggunaan melalui platform yang menarik serta meningkatkan tahap pendayaupayaan pengguna.
Menurut Dato’ Rosol penganjuran Prosenium Penguna IPTA 2022 telah dilaksanakan mengikut zon secara berperingkat bermula di Universiti Malaya pada 29 Julai 2022 dan malam kemuncaknya adalah pada malam ini di Universiti Kebangsaan Malaysia di mana pemenang bagi pertandingan ini akan diumumkan.
Sebanyak 11 buah IPT telah menyertai pertandingan ini dan seramai 200 orang pelajar IPT telah mengambil bahagian. Pelbagai isu kepenggunaan telah diketengahkan di dalam naskhah pementasan teater pada kali ini dan diharap pementasan teater ini merupakan satu pendedahan yang terbaik kepada pelajar IPT dalam memahami dengan lebih jelas berkaitan isu-isu kepenggunaan .
Pada keseluruhannya pemenang program prosenium pengguna ipt berjaya mengupas isu kepenggunaan berdasarkan modul kepenggunaan ditetapkan dengan sangat baik.
Tambahnya lagi, setiap isu kepenggunaan sama ada perlindungan pengguna, kelestarian alam sekitar, pemakananan sihat dan pengurusan kewangan diterjemah melalui pengarahan yang baik dan naskhah yang dipersembahkan menepati kriteria penilaian ditetapkan dari segi ketepatan modul kepenggunaan, penyelesaian isu, kreativiti, teknikal pengarahan, lakonan dan artistik / sinografi.
Pihak Kementerian komited menyokong usaha dan kerjasama strategik dengan semua pihak termasuklah pihak IPT dalam meningkatkan kesedaran hak pengguna terutama di kalangan mahasiswa. Kementerian percaya peranan yang dimainkan oleh pelajar IPT amat penting yang akan menjadi duta kecil Kementerian serta berperanan sebagai mata dan telinga Kerajaan dalam menyemarakkan dan menyebarluas program advokasi kepenggunaan di kalangan pengguna muda.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat