SHAH ALAM, 5 Julai 2022 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjalankan pemeriksaan secara bersasar di premis pembungkusan minyak masak bersubsidi utama di sekitar Shah Alam, Selangor.
Pemeriksaan yang diketuai oleh YB Dato’ Rosol bin Wahid, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan turut disertai Tuan Shahrudin bin Hamzah, Ketua Seksyen Bekalan Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP; Tuan Mohd Khairi bin Jamaludin, Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Negeri Selangor serta pasukan Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Selangor. Dalam masa yang sama, Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam mengetuai pemeriksaan di Kelantan. Pemeriksaan yang sama turut dijalankan di seluruh negara.
Menurut YB Dato’ Rosol, ini merupakan pemeriksaaan pertama di Selangor mensasarkan dua (2) premis pembungkusan minyak masak bersubsidi di Bandar Pinggiran Subang, Shah Alam yang merupakan premis aktif beroperasi sebagai pembekal utama bekalan minyak masak di lokaliti Shah Alam serta keseluruhan Negeri Selangor.
KPDNHEP telah merancang secara komprehensif dengan mengenal pasti premis pembungkusan minyak masak mengikut lokaliti di setiap Negeri dan melaksanakan pemeriksaan mengejut untuk meneliti status sebenar jumlah (bekalan) minyak masak paket 1 kilogram yang dikeluarkan oleh premis pengeluar dan pembungkus minyak masak bersubsidi.
Pemeriksaan yang memfokuskan kepada tempat penyimpanan bekalan, serta pemprosesan pengeluaran dan pembungkusan minyak masak paket, selain mendapatkan deklarasi atau maklumat lengkap daripada pengusaha premis yang diperiksa berkaitan minyak masak yang dikeluarkan.
KPDNHEP turut beri fokus pemeriksaan kedudukan harga runcit minyak masak sawit tulen dalam botol yang telah diapungkan harganya bermula 1 Julai 2022 bagi memastikan harga jualan runcit berpatutan dan peniaga tidak mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan secara tidak munasabah (mencatut). Mana-mana peniaga yang didapati berbuat demikian akan diberi notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan disiasat atas kesalahan mencatut.
Tambahnya lagi, KPDNHEP juga memberi amaran keras kepada mana-mana individu dan syarikat agar tidak terbabit/bersubahat melakukan aktiviti penyelewengan dan menyorok barang kawalan/subsidi. Mana-mana orang yang melakukan kesalahan tersebut boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau keduaduanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).
Anggota penguat kuasa KPDNKSH akan sentiasa berada di lokasilokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.
Akhir sekali,sekiranya pengguna mempunyai sebarang maklumat berkaitan salah laku peniaga berhubung barang kawalan bersubsidi khususnya minyak masak paket 1kg boleh menyalurkan aduan lengkap kepada KPDNHEP melalui saluran
Oleh : Unit Komunikasi Korporat