KUALA PERLIS, 29 Jun 2022 – Yang Berhormat Dato’ Rosol bin Wahid, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah menyempurnakan Majlis Pelancaran program utama Kementerian iaitu Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Initiative – ReDI) Peringkat Negeri Perlis.
ReDI ini adalah sebahagian dari pelaksanaan inisiatif pengembangan sektor perniagaan yang menjadi teras utama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Melalui Program ReDI seramai 3,919 peniaga telah beralih ke medium digital dan kini ianya diperluaskan di Perlis dengan menyasarkan Kuala Perlis Go Cashless di sini.
Menurut Dato’ Rosol Wahid inisiatif ReDI ini bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada wang tunai, malah memberi pelbagai manfaat kepada pengguna dan peniaga dalam tiga (3) aspek iaitu mudah, cepat dan selamat.
Selain itu, bagi menyokong pelaksanaan ReDI yang dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perlis serta Majlis Perbadanan Kangar (MPK) ini, Kementerian bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM30,000 bagi melaksanakan program insentif baru kepada peniaga dan pengguna secara tanpa tunai di Kuala Perlis ini.
Pada masa yang sama, Kementerian juga meneruskan perluasan Kempen Pembudayaan Norma Baharu Sektor Peruncitan di Brasmana Foodtruck & Flea Market, Kuala Perlis. Di antara langkah yang akan digunakan dalam kempen ini ialah melalui pemasangan Sistem Ulang Siar Digital. Ini adalah salah satu strategi bagi memudahkan semua pihak menerima maklumat dengan pantas dan mudah.
Pada masa yang sama, Kementerian juga membuat penyerahan satu mesin retort kepada pihak pengurusan Hotel Putra Brasmana di mana, Inisiatif melalui proses pembungkusan secara retort ini mampu membantu pengguna, pengusaha hotel dan syarikat katering untuk menguruskan lebihan makanan secara lebih sistematik bagi memanfaatkan golongan penerima di Negeri Perlis.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui emel kepada
Oleh : Unit Komunikasi Korporat