Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

KPDNHEP MENYERBU PREMIS MENJUAL ALAT PERANTI TEKNOLOGI PENSTRIMAN

PUTRAJAYA 28 Jun 2022 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan serbuan ke atas tiga (3) premis berasingan yang terletak di dalam sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya, Selangor yang menjual alat teknologi penstriman (android box) pada 22 Jun 2022.

Menurut Tuan Azman bin Adam, Pengarah Penguat Kuasa KPDNKSH, serbuan yang bermula pada jam 12.00 tengah hari dengan kekuatan seramai 12 anggota penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya dilakukan hasil daripada maklumat pemilik hak cipta serta risikan awal yang telah dilakukan oleh pihak KPDNHEP selama beberapa hari sebelum itu. 

Hasil pemeriksaan, pihak KPDNHEP telah merampas sebanyak 17 unit alat teknologi penstriman berserta dokumen yang berkaitan yang disyaki mengandungi karya hak cipta yang diadukan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 6,800.00. 

Pasukan serbuan juga telah bertindak menahan dua (2) individu lelaki, seorang daripadanya adalah warganegara tempatan manakala seorang lagi adalah bukan warganegara kedua-duanya berumur lingkungan 30-an untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987 iaitu melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan menjual suatu teknologi penstriman. 

Tambahnya lagi, pihak Kementerian ingin mengingatkan kepada semua peniaga agar tidak menjual alat teknologi penstriman seumpama ini. Tindakan penguatkuasaan serta pemantauan yang berterusan dan tegas akan dilakukan oleh pihak Kementerian kerana alat teknologi penstriman ini berupaya untuk melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya hak cipta yang dilindungi. 

Akhir sekali, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga berhubung perkara ini boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran rasmi yang disediakan.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive