Johor Bahru, 11 Jun 2022 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA) kini memperluaskan Program Jelajah Franchise Bay (PJFB) 2022 ke Negeri Johor dan Zon Selatan di Pusat Beli-belah Angsana Mall, Johor Bahru, Johor.
Ini merupakan platform yang dibangunkan oleh Kerajaan untuk para usahawan yang baru menceburkan diri dalam bisnis mahupun usahawan yang hendak mengembangkan bisnis sedia ada bagi mempromosikan bisnis mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan seterusnya menyumbang kepada usaha-usaha Kerajaan dalam memulihkan dan mengukuhkan ekonomi negara.
PJFB di Johor Bahru ini merupakan siri yang kedua daripada siri Jelajah Francais Bay bagi tahun 2022. Sebanyak 24 syarikat francais telah terlibat dalam sesi pameran dan business matching. Pameran ini juga bertujuan memberi pendedahan tentang sistem-sistem perniagaan francais yang telah wujud di negara ini serta pakej-pakej latihan dan pembiayaan yang disediakan oleh Kerajaan kepada bakal-bakal usahawan francais.
Akhir sekali, Kerajaan menggalakkan para usahawan untuk merebut peluang yang disediakan dari segi program latihan dan pembiayaan dalam menerokai bisnis francais ini. Sebarang pertanyaan boleh merujuk kepada pautan www.mfa.org.my dan sila lawat pautan https://myfexv2.kpdnhep.gov.my untuk pendaftaran.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat