Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

MAJLIS PERASMIAN PROGRAM HARI INDUSTRI JUALAN LANGSUNG MALAYSIA DAN PELANCARAN PELAN HALA TUJU INDUSTRI JUALAN LANGSUNG (2021 – 2025)

majlis perasmian program hari industri jualan langsung malaysia dan pelancaran pelan hala tuju indusri jualan langsung 2021 2025

KUALA LUMPUR, 28 Mei 2022 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Direct Selling Association of Malaysia (DSAM) dan Malaysian Direct Distribution Association (MDDA) menganjurkan Program Hari Industri Jualan Langsung Malaysia di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.Program yang berlangsung selama 3 hari dari 27 hingga 29 Mei ini dirasmikan oleh YB Dato’ Rosol bin Wahid, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Program Hari Industri Jualan Langsung Malaysia ini merupakan inisiatif baharu yang menyasarkan kepada usaha untuk mengembangkan industri jualan langsung dan memberikan pendedahan yang lebih meluas mengenai aktiviti perniagaan jualan langsung yang sah di Malaysia seterusnya meningkatkan penglibatan lebih banyak pihak untuk menceburkan diri dalam industri ini yang mampu menjana sumber pendapatan.

Bertemakan Khazanah Alam Jualan Langsung, program ini melibatkan 22 syarikat jualan langsung daripada DSAM dan MDDA bagi mempromosi potensi perniagaan kepada orang ramai serta kelebihan produk jualan langsung. Aktiviti seperti sesi pitching dan pemadanan, sesi konsultasi, sesi ceramah, kempen advokasi dan pocket talk oleh KPDNHEP, DSAM, MDDA dan wakil syarikat jualan langsung merupakan antara pengisian program.

Selain itu, KPDNHEP turut melancarkan Pelan Hala Tuju Industri Jualan Langsung (2021 – 2025) di mana ia merupakan blueprint yang akan menterjemah hala tuju industri jualan langsung pada masa hadapan. Dokumen ini telah digarap berdasarkan kepentingan semua pihak yang terlibat di dalam industri ini bagi menjayakannya ke arah pewujudan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif dan dinamik.

Program yang dianjurkan ini merupakan manifestasi KPNDHEP kepada usaha pembangunan berterusan industri jualan langsung yang lebih progresif bagi memastikan industri ini menjadi salah satu sektor utama yang menyumbang kepada pendapatan negara.

Akhir sekali, KPDNHEP bersama-sama rakan strategik lain akan meneruskan usaha untuk meningkatkan syarikat jualan langsung yang mempunyai lesen yang sah daripada Kementerian di samping merancakkan pelbagai inisiatif bagi memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai potensi perniagaan jualan langsung.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive