PUTRAJAYA, 19 Mei 2022 – Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melancarkan Logo Barang Subsidi dan Barangan Kawalan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Menurut Menterinya, penggunaan Logo Barang Subsidi bertujuan supaya pengguna lebih maklum akan subsidi yang disediakan oleh Kerajaan untuk meringankan kos sara hidup golongan sasar. Manakala penggunaan Logo Barang Kawalan pula bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada pengguna akan hak-hak pengguna khususnya hak ke atas barang kawalan yang dilindungi di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122]. Ini merupakan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi membendung ketirisan dan penyalahgunaan barang-barang subsidi dan kawalan. Komoditi yang terlibat dalam projek rintis ini adalah Gula, Minyak Masak dan Tepung Gandum.
Turut berlangsung, diadakan jualan barangan keperluan asas (MyGrocer) di perkarangan Pejabat KPDNHEP Putrajaya. Program Outreach Sara Hidup melalui kerjasama strategik antara Majlis Tindakan Sara Hidup Negara bersama Kementerian Wilayah Persekutuan (MyGrocer) ini adalah merupakan satu inisiatif di bawah agenda kos sara hidup melalui penjualan barangan dapur harian pengguna tanpa penglibatan orang tengah dalam rantaian pembekalan. Harga barangan yang dijual kepada pengguna adalah lebih rendah sebanyak 5% hingga 20% daripada harga pasaran.
Sehingga kini, sebanyak 56 Program Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam (PPR/ PA) di Lembah Klang telah mendapat manfaat inisiatif di bawah MyGrocer ini.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat