Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

AKTIVITI PENYELEWENGAN MINYAK DIESEL BERSUBSIDI DISERBU PENGUAT KUASA KPDNHEP

PUTRAJAYA, 21 April 2022 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan yang dilakukan ke atas sebuah stesen minyak di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan yang disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi pada 17 April 2022.

Menurut Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Tuan Azman bin Adam, serbuan dilakuan oleh anggota Penguat Kuasa daripada KPDNHEP Putrajaya adalah hasil risikan yang dilalkukan sejak minggu lalu. Ketika serbuan dijalankan, sebuah lori tangka sedang minyak dan telah membuat pengisian minyak diesel berjumlah RM500.00.

Hasil pemeriksaan mendapati sebuah pam yang menghubungkan tangki asal kenderaan itu terus ke dalam tiga (3) buah compartment di dalam lori tangki tersebut. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat minyak diesel yang dianggarkan berjumlah 3,232 liter di dalam compartment pada lori berkenaan. 

Minyak diesel, lori tangki, satu set dekoder CCTV dan invois/resit jualan serta belian berserta dokumen-dokumen perniagaan yang lain daripada stesen minyak berkenaan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 32, 450.00.

Tambahnya lagi, seorang lelaki warga tempatan berumur 24 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan. Kertas siasatan telah dibuka dna sisatan akan dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut bermula daripada stesen minyak berkenaan sehinggalah ke peringkat pembeli.

Tegasnya juga, KPDNHEP memberikan amaran keras ke atas mana-mana pengusaha minyak terutamanya melibatkan 24 stesen minyak di kawasan Daerah Port Dickson ini agar mematuhi perundangan. Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM 1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM 3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau keduaduanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM 5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).

Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

Masyarakat disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi terutamanya minyak diesel ini bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyelewengan minyak diesel bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap melalui saluran rasmi Kemenetrian.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP

(Hanya terbitan bahasa melayu sahaja)


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive