PUTRAJAYA 14 April 2022 – Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan serbuan ke atas tiga (3) premis berasingan yang terletak di dalam sebuah pusat membeli-belah di Klang, Selangor yang menjual alat teknologi penstriman (android box) pada 11 April 2022.
Menurut Tuan Azman bin Adam, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, serbuan yang bermula pada jam 12.00 tengah hari dengan kekuatan seramai 15 anggota penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya dilakukan hasil daripada maklumat pemilik hak cipta yang berkaitan serta risikan yang telah dilakukan oleh pihak KPDNKSH selama dua minggu.
Hasil pemeriksaan terhadap tiga (3) premis terbabit, pihak KPDNHEP telah merampas sebanyak 25 unit alat teknologi penstriman berserta dokumen yang berkaitan dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 8,567.00. Selain itu, seramai tiga (3) lelaki warga tempatan telah ditahan untuk siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987 iaitu melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan menjual suatu teknologi penstriman.
Jika disabitkan kesalahan mereka boleh didenda tidak kurang daripada RM 10 000.00 dan tidak melebihi RM 200,000.00 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
Tambahnya lagi, pihak KPDNHEP telah menambahbaik Akta Hak Cipta 1987 melalui pindaan kepada Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang telah berkuatkuasa mulai 18 Mac 2022 lalu. Ia memberi penekanan dalam usaha membanteras pelanggaran hak cipta secara dalam talian atau cetak rompak digital.
Tegasnya, semua peniaga diingatkan supaya tidak menjual alat teknologi penstriman seumpama ini dan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan yang berterusan akan dilakukan oleh pihak Kementerian kerana alat teknologi penstriman ini berupaya untuk melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya hak cipta yang dilindungi.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga berhubung perkara ini boleh menyalurkan aduan yang lengkap di saluran aduan rasmi Kementerian.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat