Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

KPDNHEP TELAH GERAKKAN SKUAD SUKARELAWAN BANJIR BANTU MANGSA BANJIR DI SELURUH NEGARA

 

PUTRAJAYA, 7 Januari 2022  Sebaik sahaja benca banjir telah melanda negara pihak Kementerian telah menubuhkan Skuad Sukarelawan Banjir Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (SSB-KPDNHEP). Skuad ini digerakkan dalam misi bantuan kerja-kerja pembersihan dan penyaluran bantuan kemanusian kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara sejak 23 Disember 2021.

Hari ini, YB Menteri KPDNHEP serta Pengurusan Tertinggi Kementerian turun padang bagi menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk Sungai Rambai, Melaka yang terjejas akibat banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) SMK Sungai Rambai.

Selain itu, beberapa lokasi yang terjejas juga telah menerima bantuan, antaranya Dengkil, Banting, Sepang, Shah Alam dan Semenyih. KPDNHEP melalui SSB-KPDNHEP dan FoodBank Malaysia di bawah kelolaan Kementerian telah turut serta menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir yang melibatkan kakitangan Kementerian yang terkesan meliputi Negeri Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Melaka dalam bentuk kerja-kerja pembersihan serta barang-barang yang sedia dimakan.

Sebanyak 171 keluarga yang terlibat dengan bencana banjir ini diberi bantuan . Bantuan-bantuan yang telah diberikan adalah seperti kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir, lawatan ke lokasi bencana dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), lawatan ke rumah penginapan sementara mangsa banjir, sumbangan bahan makanan dan minuman, kutipan derma kilat, sumbangan pakaian, Kelengkapan Perlindungan Diri (PPE) dan cecair sanitasi dan bekalan ubat-ubatan.

Selain itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 28 Disember 2021 telah mengkhususkan KPDNHEP ke Daerah Kuala Selangor sebagai kawasan angkat bagi penumpuan misi bantuan pasca banjir seperti mempercepatkan kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir dan penyaluran sumbangan kemanusiaan kepada komuniti di kawasan terjejas.

Pasukan SSB-KPDNHEP juga telah ke Sekolah Menengah Jeram, Kuala Selangor yang telah dijadikan sebagai PPS bagi mangsa-mangsa banjir. Gerak kerja yang telah dilaksanakan melibatkan pembersihan dalam dan luar dewan, pembersihan longkang, pembersihan tandas, pembersihan sampah, pembersihan kelas dan sekitar sekolah dan lain-lain pembersihan yang diarahkan sebagai persediaan pembukaan semula sesi persekolahan. SSb juga telah mneyerahkan bantuan kepada beberapa kampung yang telah terjejas.

YB Dato Sri Menteri, YB Dato’ Timbalan Menteri, YBhg. Datuk Seri KSU serta Pengurusan Tertinggi Kementerian turut terlibat turun padang bersama SSB-KPDNHEP dalam misi kerja-kerja pembersihan dan penyaluran bantuan kepada mangsa banjir yang terkesan. KPDNHEP mengucapkan terima kasih kepada semua rakan strategik dan berharap lebih banyak syarikat swasta tampil membantu meringankan beban yang dialami oleh mangsa banjir.

Akhir sekali, KPDNHEP juga mengucapkan terima kasih kepada NGO-NGO, sukarelawan-sukarelawati yang telah bersama dalam misi bantuan ini. Masa ujian ini telah menyerlahkan semangat Keluarga Malaysia yang tinggi dan terpuji dalam situasi ringan sama dijinjing dan yang berat sama dipikul merentasi garis kaum, bangsa dan agama. Syabas Keluarga Malaysia.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat

(Hanya terbitan bahasa melayu sahaja)


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive