KOTA KINABALU, 12 MAC 2023, AHAD- YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kosa Sara Hidup turut melakukan Jelajah Menu RAHMAH di Kota Kinabalu, Sabah sekaligus melancarkan Inisiatif Menu RAHMAH peringkat Kota Kinabalu di Restoran BTC Bistro Inanam.
Restoran ini menawarkan set makan tengah hari bagi Menu RAHMAH dan menu ini boleh dibeli pada setiap hari isnin hingga jumaat dari pukul 11.30 pagi sehingga 1.30 tengah hari pada harga RM5.00 per hidang.
Antara Menu RAHMAH yang ditawarkan di Restoran BTC Bistro Inanam adalah seperti berikut:
I. Hari Isnin-Nasi Putih, Ayam Masak Kicap, Sup Kosong dan Sayur Kubis Tumis;
II. Hari Selasa-Nasi Putih, Ikan Goreng Sambal, Sup Kosong dan Sayur Taugeh Tumis;
III. Hari Rabu-Nasi Putih, Ayam Masak Merah, Sup Kosong dan Acar Timun Nenas;
IV. Hari Khamis-Nasi Putih, Ikan Masak Taucu, Sup Kosong dan Sayur Kacang Panjang dan;
V. Hari Jumaat-Nasi Putih, Ayam Masak Kari, Sup Kosong dan Sayur Kubis Tumis.
Berdasarkan maklumbalas daripada peniaga yang telah menyertai inisiatif ini, Menu RAHMAH telah dijadikan model perniagaan Daya Penarik Pelanggan (Crowd Puller) untuk menarik pelanggan ke premis mereka. Dengan itu pendapatan mereka dapat ditingkatkan melalui kuantiti jualan yang dapat menampung pengurangan margin dan pada masa yang sama turut bersama-sama dalam usaha kebajikan kepada mereka yang memerlukan.
Kerajaan sentiasa komited dalam membantu mempromosi premis yang menyediakan Menu RAHMAH. Sehubungan dengan itu, KPDN telah mewujudkan satu portal bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat lokasi premis menjual Menu RAHMAH yang berdekatan dan peniaga juga boleh mendaftar penyertaan mereka dengan melayari https://menurahmah.kpdn.gov.my.
Sehingga 12 Mac 2023, 105 premis makanan telah menyertai Inisiatif Menu RAHMAH di Sabah dan lebih dari 1,531 premis perniagaan telah mendaftar dalam melaksanakan Inisiatif Menu RAHMAH di seluruh negara.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat