PUTRAJAYA, 6 MAC 2023, ISNIN – AEON CO. (M) BHD. atau AEON telah melancarkan Rahmah Raya bagi pelanggannya untuk terus membantu masyarakat mengharungi kos sara hidup yang tinggi seiring merancakkan lagi sektor ekonomi negara. Ianya telah dilancarkan oleh YB Datuk Seri Salahuddin bin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini di Aeon Putrajaya, IOI City Mall.
Rahmah Raya merupakan satu insiaitif AEON seiring dengan Program Payung Rahmah yang dilancarkan oleh Kerajaan. Seperti sedia maklum, Payung Rahmah merupakan manifestasi keprihatinan dan konsep kasih sayang Kerajaan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang terlibat.
Menurut YB Menteri, pelaksanaan inisiatif Payung Rahmah di premis AEON ini dimulakan dengan pelancaran Jualan Rahmah Raya yang merangkumi pelbagai produk makanan-minuman, pakaian/busana, barangan elektrik, perabot, hiasan rumah dan sebagainya, yang disesuaikan dengan persediaan sambutan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam.
YB Menteri juga turut menyampaikan sumbangan Bakul RAHMAH kepada 20 keluarga yang kurang berkemampuan. Selain itu, AEON juga menyahut seruan KPDN melalui penjualan Menu Rahmah dengan set makanan-minuman terpilih pada harga RM4.90.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat