PUTRAJAYA, 1 MAC 2023 – Susulan kebangkitan isu kewujudan ketirisan dalam pelaksanaan subsidi diesel yang dianggarkan berjumlah hampir 10 bilion ringgit nilai pada tahun 2022 oleh YAB Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan Malaysia Madani 2023 yang lalu, pihak Kementerian telah mengambil maklum.
Menurut YBhg. Datuk Azman bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha KPDN, memaklumkan mengambil tindakan segera melalui whole government approach dengan mewujudkan task force bersama pelbagai agensi berkaitan bagi mengenalpasti punca ketirisan dan mencari jalan penyelesaian yang konkrit dari sudut dasar dan mekanisma pelaksanaan bagi mengatasi isu ketirisan subsidi diesel.
Mesyuarat bersama agensi-agensi yang terlibat juga telah diadakan pada 1 Mac 2023. Diesel bersubsidi dijual di stesen-stesen minyak pada harga kawalan iaitu RM 2.15 seliter. Faktor harga yang murah ini dan bekalan yang mudah diperolehi merupakan faktor utama peningkatan permintaan daripada industri sama ada untuk kegunaan domestik mahupun untuk dieksport.
Tambahnya lagi, penguatkuasaan yang tegas di semua peringkat, kawasan dan lokaliti termasuk kawasan kepulauan, kawasan sempadan, kawasan perindustrian/eksport, kawasan bandar serta di luar bandar.
Dalam mesyuarat tersebut KPDN telah melancarkan OPS TIRIS yang akan dilaksanakan selama enam (6) bulan bermula dari 1 Mac 2023 sehingga 31 Ogos 2023. OPS ini bertujuan untuk memastikan pelaksanaan subsidi diesel tidak mengalami ketirisan dan sampai ke pihak yang layak menerimanya. Dua (2) jawatankuasa ditubuhkan di dalam pelaksanaan OPS TIRIS ini iaitu Jawatankuasa Pemandu (JKP) yang melibatkan penetapan polisi dan Jawatankuasa Teknikal (JKT) yang melibatkan urusan pelaksanaan operasi.
KPDN sentiasa komited dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi mempergiatkan serta mempertingkatkan kawal seliaan dan operasi ke atas pengedaran barang- barang kawalan di seluruh Negara.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat