AYER KEROH, 8 DISEMBER 2024, AHAD –Program Jelajah Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang telah berlangsung selama 3 hari akhirnya melabuhkan tirainya pada 8 Disember 2024 bertempat di Dataran Sejarah Ayer Keroh, Melaka.
Jelajah KPDN Zon Selatan ini merupakan siri terakhir bagi tahun 2024 dan telah berjaya tersenarai di dalam Malaysia Book of Records sebagai ‘Longest Non-Stop Government Community Sales’ iaitu pelaksanaan selama 40 jam tanpa henti Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM).
Program ini juga turut berjaya menarik lebih 100,000.00 pengunjung daripada dalam dan luar negeri Melaka dan mencatat kutipan jualan tertinggi mencecah RM2.7 Juta. Pelbagai aktiviti menarik serta pameran yang informatif disediakan buat pengunjung yang hadir. KPDN berharap agar para pempamer dan pengunjung dapat memanfaatkan platform ini untuk memperluas rangkaian perniagaan, memperkenalkan jenama masing-masing, serta menikmati peluang-peluang yang disediakan sepanjang karnival berlangsung.
Dalam pada itu, KPDN telah mengumumkan penubuhan pasukan sukarelawan Skuad Ihsan MADANI KPDN sebagai usaha mendokong nilai IHSAN dalam Kerajaan MADANI dan seruan kerajaan mempergiat partisipasi penjawat awam sebagai sukarelawan banjir.
Turut hadir, YB Tuan Allex Seah Shoo Chin EXCO Pembangunan Usahawan, Negeri Melaka, YB Tuan Veerapan Superamaniam, EXCO Kerajaan Negeri Sembilan, ADUN Repah,YBhg. Dato’ Seri Mohd Sayuthi Bakar, Ketua Setiausaha KPDN, YBhg. Datuk Roziah Abudin, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri), YBhg. Dato' Haji Amran Haji Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna dan Pengurusan) KPDN dan pegawai-pegawai kanan Kementerian dan agensi.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat