PUTRAJAYA, 5 JANUARI 2024, JUMAAT – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melakukan serbuan ke atas sebuah premis tempat memproses dan menyimpan pelbagai barangan bahan-bahan mentah serta botolbotol pembungkusan untuk menghasilkan produk ubat batuk tiruan di Mantin, Negeri Sembilan pada 15 Disember 2023.
Operasi bersepadu yang dilakukan oleh sepasukan anggota Penguat Kuasa KPDN Putrajaya bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) adalah hasil daripada aduan yang diterima serta risikan awal yang telah dilakukan oleh pihak KKM selama tiga (3) bulan sebelum serbuan.
Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis terbabit, pasukan serbuan telah menemukan sejumlah 10,000 botol ubat batuk yang telah siap dibungkus, 900 liter cecair disyaki ubat batuk di dalam mesin pengadun, kenderaan dan beberapa peralatan lain yang digunakan bagi tujuan memproses ubat batuk yang menggunakan jenama ubat batuk terkenal yang disyaki tiruan.
Kesemua bahan-bahan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM236,516.00.
Pasukan serbuan juga telah bertindak menahan seorang individu wanita, warga tempatan yang mengaku bertanggungjawab ke atas premis terbabit, berumur 38 tahun untuk membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].
KPDN ingin memberikan peringatan serta amaran kepada mana-mana pihak agar tidak melakukan aktiviti memproses dan menjual barang yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah, terutamanya berkaitan barangan ubat-ubatan seumpama ini kerana boleh mengancam keselamatan pengguna.
Pengguna juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati terutamanya apabila membeli ubat-ubatan sama ada di premis fizikal atau secara dalam talian agar tidak mudah terpedaya selain tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian dan menjejaskan kesihatan pengguna itu sendiri.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat