MELAKA, 13 JANUARI 2024 – YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bersama-sama Pengurusan Tertinggi Kementerian serta KPDN Melaka turun padang dalam Sesi Advokasi Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-BERKAT) di sekitar Jonker Walk, Melaka.
Antara objektif Sesi Advokasi Biz-BERKAT ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan komitmen di kalangan para peniaga untuk mematuhi kod etika, peraturan dan undang-undang perniagaan. Ini termasuk pematuhan kepada Akta Perihal Dagangan 2011 seperti larangan untuk memberikan maklumat dan perihal dagangan palsu ke atas barang-barang, harga dan perkhidmatan termasuk berkaitan pensijilan halal.
Sesi Advokasi Biz-BERKAT merupakan inisiatif baharu KPDN bagi tahun 2024 di bawah teras strategi Ketangkasan Penguatkuasaan. Inisiatif ini juga bertujuan untuk memastikan aktiviti penguatkuasaan perlu hadir bersama aktiviti advokasi pematuhan kod etika dan perundangan.
Walkabout Advokasi Biz-BERKAT dilaksanakan tahun ini bermula dengan negeri Melaka selaras dengan Kempen Tahun Melawat Melaka 2024.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat