MELAKA, 23 JANUARI 2024, SELASA – YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bersama YAB Ketua Menteri Melaka telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Jualan IHSAN RAHMAH (PJIR) TAHUN MELAWAT MELAKA 2024 bertempat di Pasar Raya Family Store Masjid Tanah, Melaka.
PJIR merupakan salah satu inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama pihak swasta dan industri di bawah cabang baharu Ikhtiar IHSAN RAHMAH. Bermula tahun 2024, Ikhtiar IHSAN RAHMAH diperkenalkan sebagai cabang baharu Agenda PAYUNG RAHMAH.
Matlamat Ikhtiar IHSAN RAHMAH adalah untuk menggalakkan penyertaan lebih banyak pihak swasta dan industri dalam memperluas pelaksanaan Agenda PAYUNG RAHMAH. Ini sekali gus menyediakan platform untuk sektor swasta dan industri memberikan sumbangan ihsan sebagai citra kepedulian mereka terhadap agenda kerajaan menangani isu kos sara hidup rakyat. Ini termasuk melalui pelbagai kaedah pelaksanaan berbentuk inisiatif yang dipandu pihak swasta (private-driven initiative) selain inisiatif yang dipandu oleh kerajaan (government-driven initiative).
PJIR Tahun Melawat Melaka merupakan antara inisiatif awal yang dirintis di bawah cabang Ikhtiar IHSAN RAHMAH. Melalui program ini, sekumpulan pemain industri sektor peruncitan meliputi pasar raya dan hypermarket di Melaka mewujudkan kerjasama strategik dengan KPDN untuk menawarkan program jualan diskaun bulanan.
PJIR Tahun Melawat Melaka 2024 ini akan dilaksanakan secara serentak di seluruh negeri Melaka pada setiap 24 haribulan bermula Januari sehingga Disember 2024. Ia melibatkan 11 jenama pasar raya dan hypermarket di sebanyak 58 lokasi premis peruncitan. Selain itu, sebanyak 24 barangan yang ditawarkan diskaun di antara 10 hingga 30 peratus meliputi barangan keperluan dapur dan harian.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat