PADANG BESAR, 20 JANUARI 2024, SABTU – YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen , Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian, Perlis seterusnya lawatan kerja ke Pos Wang Pracham dan Pekan Wang Pracham, Thailand serta ICQS Padang Besar, Perlis.
Lawatan kerja ini bertujuan untuk meninjau serta melihat sendiri operasi penguatkuasaan di pintu-pintu masuk sempadan negara yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi keselamatan negara. Dalam pada itu, YB Menteri PDN turut meluangkan masa untuk mendengar isu-isu berbangkit berkaitan penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi yang terkait dengan bidang kuasa kawal selia oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN.
KPDN meletakkan agenda memperkukuh penguatkuasaan di pintu masuk sempadan sebagai antara fokus utama bagi tahun 2024 dengan memperkuatkuasa enam inisiatif melalui
1. OPS TIRIS 3.0;
2. pengukuhan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan di sempadan negara;
3. penempatan berkala pegawai Penguin Kuasa KPDN di tujuh lokasi pintu masuk sempadan negara iaitu negeri Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan sehingga penubuhan Single Border Agency (SBA);
4. Penambahbaikan SOP kes penyerahan agensi daripada agensi-agensi penguatkuasaan lain;
5. Pelaksanaan pemantauan terhadap pemborong dan peruncit di sempadan;6. pelaksanaan pengauditan terhadap pemborong-pemborong diesel, pemegang permit barang kawalan, bunkering dan syarikat-syarikat pengeksport.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat