KUCHING, 9 FEBRUARI 2024, JUMAAT – YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meluangkan masa dengan turun padang bagi melakukan sesi walkabout di Program Jualan RAHMAH (PJR) di Santubong, Kuching, Sarawak.
Program Jualan RAHMAH (PJR) menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian di antara 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga biasa pasaran tempatan. PJR dilaksanakan dengan 3 pendekatan iaitu di dalam premis, luar premis (terbuka) dan secara bergerak.
Sepanjang tahun 2023, sebanyak 727 PJR telah dilaksanakan di Sarawak meliputi 31 kawasan Parlimen yang telah menarik seramai 807,254pengunjung.
Bagi tahun 2024, KPDN menyasarkan lebih banyak program dianjurkan sehingga ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN). Sebagai penambahbaikan kepada program ini, bermula sejak Januari 2024, orang ramai boleh mengakses portal laman rasmi KPDN bagi mendapatkan jadual penganjuran PJR di kawasan setempat. Pendekatan ini dibuat untuk memastikan orang ramai boleh mendapat maklumat lebih awal tentang tarikh dan lokasi penganjuran yang akan berlangsung di kawasan Parlimen dan DUN masing-masing.
Di kesempatan itu, YB Menteri turut melakukan sesi happy hour dan cabutan bertuah bagi pengunjung-pengunjung yang hadir pada Jualan RAHMAH.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat