BAHAU, 22 FEBRUARI 2024 (KHAMIS) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan telah menganjurkan Program Jualan RAHMAH bertemakan "Back To School" Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2024 di Gedung Pakaian CY, Bahau, Negeri Sembilan.
Pelaksanaan Program Jualan RAHMAH "Back To School" ini sebagai salah satu usaha kerajaan dalam membantu meringankan beban ibu bapa bagi menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak melalui penawaran jualan pakaian dan peralatan sekolah pada harga yang lebih rendah dan berpatutan sehingga 30 peratus.
Ini adalah selari dengan pendekatan Kementerian melalui whole of nation approach dalam menangani kos sara hidup rakyat disamping meningkatkan keterangkuman pelbagai pihak sekaligus memanfaatkan lebih ramai anggota masyarakat.
Program Jualan RAHMAH “Back To School” ini dilaksanakan secara serentak di seluruh Negeri Sembilan pada 23 hingga 26 Februari 2024 yang melibatkan 43 lokasi premis di seluruh Parlimen di Negeri Sembilan.
Justeru, KPDN terus komited untuk memastikan seluruh rakyat dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dan menyeru untuk lebih ramai lagi pemain industri khususnya pasar raya serta hypermarket agar dapat bersama-sama menjayakan aspirasi Malaysia MADANI.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat