PUTRAJAYA, 24 MAC 2024, AHAD – YBhg. Datuk Azman bin Adam, Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengadakan sesi pemeriksaan dan pemantauan harga barang bagi meninjau pelaksanaan OPS PANTAU 2024 bertempat di Bazar Aidilfitri, Presint 3 Putrajaya.
Berdasarkan statistik OPS PANTAU 2024 dari 12 Mac 2024 hingga 23 Mac 2024, sebanyak 20,854 premis telah diperiksa di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 84 kes telah dihasilkan atas pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan sebanyak RM414,319.07.
Sejumlah 685 pemeriksaan di Bazar Aidilfitri telah dilaksanakan di seluruh negara sejak OPS PANTAU 2024 dilancarkan. Manakala sebanyak 623 aduan oleh pengguna juga telah diterima dalam tempoh yang sama melibatkan pelbagai kategori aduan.
Antara kesalahan yang diambil tindakan meliputi kegagalan meletakkan tanda harga, tidak menggunakan alat timbang yang sah dan menjual barang-barang tiruan.
KPDN telah menggerakkan lebih kurang 2,200 orang pegawai penguat kuasa di seluruh negara bagi melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri menerusi OPS PANTAU 2024.
KPDN ingin mengingatkan kepada semua peniaga agar terus mematuhi segala perundangan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan terutamanya sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat