PUTRAJAYA, 10 OGOS 2024, SABTU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi menerusi OPS TIRIS 3.0 dalam satu serbuan yang dilakukan ke atas sebuah premis yang merupakan pemborong minyak diesel dan petrol di Kawasan Perindustrian Kampung Kolam, Padang Besar, Perlis pada 7 Ogos 2024.
Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Putrajaya yang bermula kira-kira jam 10.00 pagi itu adalah hasil laporan naziran ke atas syarikat terbabit dan risikan yang telah dilakukan oleh pihak KPDN sebelum operasi dilaksanakan.
Hasil pemeriksaan awal mengesahkan premis terbabit menjalankan perniagaan menjual minyak diesel untuk kegunaan industri. Walau bagaimanapun, berdasarkan laporan naziran yang dibuat oleh KPDN Negeri, premis terbabit juga didapati menjual minyak diesel kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing. Ketika serbuan dilakukan, terdapat dua buah lori pick up bernombor pendaftaran asing sedang mengisi minyak diesel ke dalam tangki kenderaan pick up terbabit di dalam premis itu.
Hasil pemeriksaan lanjut, kedua-dua lori pick up terbabit telah membuat pengisian minyak diesel ke dalam tangki lori itu dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 72 liter melalui pam minyak di premis itu. Dua buah lori pick up, minyak diesel, telefon bimbit dan beberapa dokumen berkaitan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM84,150.00.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat