PULAU TUBA, 9 SEPTEMBER 2024, ISNIN - YBhg. Dato’ Zakaria Shaaban, Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengadakan tinjauan pelaksanaan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming (PoS to PoS) di sekitar Pulau Tuba, Kedah.
Program ini melibatkan pemberian subsidi kerajaan melalui pelantikan syarikat-syarikat transporter yang memberikan perkhidmatan mengangkut barang-barang perlu dan kawalan yang terpilih daripada pusat/sumber bekalan (point of source) kepada pusat penjualan (point of sale) di kawasan pedalaman dan pulau.
Objektif program ini adalah untuk memastikan para penduduk di kawasan pedalaman terpilih mempunyai akses kepada sejumlah barangan perlu khususnya barangan kawalan pada harga yang sama yang dinikmati oleh para penduduk di kawasan lain. Pada masa yang sama, program ini juga dapat membantu mewujudkan kestabilan bekalan barang perlu dan kawalan di kawasan pedalaman.
Melalui program ini, kos pengangkutan barangan ke kawasan pedalaman terpilih dibiayai oleh kerajaan. Tujuh jenis barangan yang terlibat dalam program ini ialah beras putih, gula putih bertapis kasar, tepung gandum, minyak masak, gas petroleum cecair LPG (tong gas memasak), petrol RON95 dan diesel.
Dalam masa yang sama, YBhg. Dato’ Zakaria Shaaban turut meluangkan masa turun padang melakukan sesi pemantauan dan pemeriksaan ke Syarikat Langkawi Borong Edar di Langkawi bagi melihat sendiri proses pembungkusan minyak masak paket bersubsidi di premis tersebut.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat