PUTRAJAYA, 4 NOVEMBER 2024, ISNIN - KPDN telah menerima Kunjungan Hormat daripada Consumer Protection and Trade Order, Ministry of Trade of Republik Indonesia. Seramai 7 orang delegasi yang diketuai oleh Mr. Ronald Jenri Silalahi, Direktur Pemberdayaan Konsumen telah mengadakan pertemuan dengan wakil Kementerian yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Haji Amran bin Haji Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna dan Pengurusan).
Kunjungan hormat ini diadakan bertujuan untuk berkongsi pengetahuan berkenaan isu-isu perlindungan pengguna dan seterusnya membincangkan kerjasama yang boleh dijalinkan dalam bidang kepenggunaan antara Republik Indonesia dan Malaysia.
Antara yang dibincangkan adalah:
i. Tanggungjawab dan peranan KPDN dalam melindungi pengguna di Malaysia;
ii. Perundangan berkaitan perlindungan pengguna di Malaysia;
iii. Landskap pengawalseliaan keselamatan barangan pengguna di Malaysia,
iv. Pengurusan aduan pengguna dan pengurusan penyelesaian pertikaian alternatif isu pengguna;
v. Advokasi dan pendidikan berkaitan kepenggunaan kepada rakyat Malaysia serta peranan persatuan pengguna dalam menjalankan program advokasi pengguna ; dan
vi. Kerjasama interagensi antara Jabatan dan Kementerian lain dalam penyelesaian isu pengguna di Malaysia.
Republik Indonesia juga telah berkongsi berkenaan inisiatif perlindungan pengguna yang sedang ditambah baik di negara mereka antaranya adalah pengwujudan sistem penyelesaian pertikaian secara dalam talian (Online Dispute Resolution), pelaksanaan kajian Consumer Empowerment Index (CEI) di Republik Indonesia serta perlindungan pengguna dalam talian.
Kunjungan hormat ini diharap dapat mengukuhkan jalinan kerjasama dalam bidang kepenggunaan meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Republik Indonesia.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat