KUALA LUMPUR, 24 FEBRUARI 2025, ISNIN - Mesyuarat Jawatankuasa Penstabilan Harga di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan telah bersidang dan diterajui oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 24 Februari 2025 bertempat di Parlimen Malaysia.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Agenda mesyuarat adalah bertujuan mendengar perbentangan Hasil Laporan Akhir Kajian Penstabilan Harga Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Status Keputusan Mesyuarat Penyelarasan Penguatkuasaan bersama Agensi-Agensi Penguatkuasaan Negeri Sabah, Sarawak dan WP Labuan dan Laporan Status Bekalan dan Harga serta intervensi Padi dan Beras di Sabah dan Sarawak.
Turut diadakan ialah Sesi Penyerahan Buku Kajian Laporan Penstabilan Harga Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan oleh YB Datuk Armizan bin Mohd Ali, kepada YB Datuk Ir Shaheimey bin Yahya, wakil pejabat Ketua Menteri Sabah, YB Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, wakil Pejabat Premier Sarawak dan En Ibrahim bin Tambi, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbandaran Labuan.