10 JUN 2025, PUTRAJAYA - YB Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah bersama-sama dalam satu sesi libat urus bersama sepuluh (10) wakil persatuan pengusaha-pengusaha restoran.
Fokus pertemuan ini adalah untuk meminda peruntukan berkaitan sekatan had penggunaan LPG Bersubsidi dalam perdagangan dan perniagaan termasuk mengambil kira keperluan LPG bersubsidi bagi peniaga jualan makanan dan minuman berskala mikro dan kecil.
Pelbagai syor dan pandangan telah dikemukakan oleh wakil persatuan pengusaha restoran dan memorandum cadangan boleh dikemukakan kepada Jawatankuasa Teknikal Semakan Pindaan yang dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Seri KSU KPDN.
Sebagaimana kelulusan Kabinet pada 5 Jun 2025 terhadap syor KPDN, Kerajaan telah bersetuju untuk meminda peruntukan PPKB yang diwartakan pada tahun 2021 tersebut, namun perlu ditetapkan perincian terhadap beberapa perkara agar adanya kejelasan undang-undang (clarity of law).
Antara perkara yang perlu dipertimbangkan adalah parameter pindaan berkaitan pendefinisian peringkat perniagaan jualan makanan dan minuman terlibat.
Selain itu, perlu diteliti pertimbangan status pemilikan perniagaan, jumlah keperluan, mekanisme kawalan dan pelaporan, keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan, serta strategi mengekang ketirisan secara menyeluruh.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat