MAJLIS PERASMIAN ASEAN E-COMMERCE CONFERENCE 2025 : ASEAN E-COMMERCE TRANSFORMATION
KUALA LUMPUR, 24 NOVEMBER 2025 – Majlis Perasmian Asean E-Commerce Conference telah disempurnakan oleh YB Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Grand Hyatt Hotel, Kuala Lumpur.
Fokus utama persidangan ini adalah untuk membina asas yang kukuh bagi ekosistem e-dagang ASEAN yang benar-benar berdaya tahan, inklusif dan mampan. Melalui sesi ini, para peserta akan mendalami bagaimana kerjasama erat antara kerajaan dan industri dapat memperkukuh kepercayaan pengguna, melindungi integriti pasaran dan mengelakkan beban pengawalseliaan yang tidak perlu.
Pada masa yang sama, persidangan akan memberi tumpuan kepada keperluan memastikan platform digital bukan sahaja memacu inovasi dan persaingan sihat, tetapi juga menjayakan pertumbuhan jangka panjang yang stabil dan selamat untuk seluruh rantau ASEAN.
Antara objektif lain ialah memastikan kesihatan industri jangka panjang melalui tadbir urus seimbang, akauntabiliti platform dan pemerkasaan ekosistem bersama. Malaysia komited memimpin usaha penyelarasan dasar, melindungi pengguna dan membuka lebih banyak peluang e-dagang kepada PKS mikro, usahawan wanita serta komuniti luar bandar agar manfaat digital dinikmati seluruh ASEAN.
Turut hadir bersama YBhg. Dato’ Seri Mohd Sayuthi bin Bakar, Ketua Setiausaha KPDN, YBhg. Datuk Roziah binti Abudin, Timbalan Ketua Setiausaha KPDN, YBhg. Datuk Azman bin Adam, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Christina Tee, Presiden Malaysia International Chamber of Commerce and Industry (MICCI) serta para pegawai KPDN dan agensi swasta.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat
