KULIM, 24 SEPTEMBER 2018 – “Rebutlah peluang selagi ada”, Itu pesanan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato’ Saifuddin Nasution Ismail ketika berucap merasmikan Program Jelajah Pendidikan Luar Bandar dan Tuisyen MARA 2018 bertempat di Jolej MARA Kulim di sini, hari ini.
Program yang memasuki tahun ketiga yang dianjurkan bersama Celcom Axiata itu bertujuan memberi pendedahan dan peluang kepada pelajar-pelajar luar bandar untuk merebut peluang melanjutkan pelajaran melalui agensi-agensi MARA.
Program ini dihadiri seramai 600 pelajar mewakili lapan buah sekolah seluruh daerah Kulim/Bandar Baharu. Antara intipati program ini ialah ceramah motivasi kecemerlangan, peluang melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi MARA, pameran pendidikan dan kerjaya serta sesi dialog yang mendedahkan pelajar untuk memilih peluang-peluang yang disediakan MARA untuk mereka.
Menurut Dato’ Saifuddin lagi, pada masa lalu, tawaran biasiswa memang mudah terutamanya bagi mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi berbanding sekarang kerana jumlah pelajar yang berjaya begitu ramai.dan terlalu banyak persaingan.
Beliau menyarankan para pelajar untuk meningkatkan kemahiran dan melengkapi diri dengan ilmu supaya mampu bersaing. Katanya, untuk berjaya ia tidak boleh dipaksa.
“Dorongan itu harus datang dari hati barulah semua akan berhasil,” ujarnya.
Celcom Axiata kemudiannya menyerahkan sumbangan sebanyak RM 35,000.00 sebagai penajaan program ini.
Dato’ Saifuddin turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar miskin yang terpilih dari seluruh daerah itu.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP