PUTRAJAYA, 21 SEPTEMBER 2018 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato’ Saifuddin Nasution Ismail hari ini mengajak warga kerja kementeriannya mengambil pengajaran daripada peristiwa hijrah supaya boleh dijadikan panduan dalam menjalani kehidupan sehari-hari.
Katanya, banyak pengajaran yang boleh diambil melalui peristiwa ini seperti sikap berani mencuba sesuatu yang baharu, perpaduan, semangat setia kawan dan banyak lagi yang boleh diterjemahkan sebagai sebahagian daripada budaya hidup seseorang.
“Seperti dalam senikata lagu Sambutan Maal Hijrah yang sering dinyanyikan setiap kali sambutan ini, banyak pengajaran dan nasihat yang boleh dikutip seperti hijrah itu perjuangan, hijrah itu pengorbanan sehingga secara keseluruhan memberi maksud hijrah itu sebagai satu tuntutan untuk kita lebih berjaya,” ujarnya ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulan September di Dewan Serbaguna KPDNHEP di sini, hari ini.
Majlis yang turut dihadiri kedua-dua Timbalan Ketua Setiausaha kementerian ini dianjurkan bersama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (Myipo) dan Bahagian Pengurusan Maklumat kementerian KPDNHEP.
Dato’ Saifuddin juga mengingatkan warga kerja KPDNHEP perlu sentiasa bersikap prihatin terhadap nasib orang lain seperti sedia membantu mereka yang kurang berkemampuan, memberi makan orang miskin dan anak-anak yatim serta sentiasa sedia melakukan kerja-kerja amal yang boleh memberi ketenangan kepada diri kita sendiri.
Katanya, program Food Bank Malaysia yang akan dilaksanakan kementerian ini sebagai salah satu usaha membantu golongan miskin dan kurang berkemampuan dengan menyalurkan makanan sumbangan pihak-pihak tertentu supaya kesukaran yang mereka hadapi dapat dikurangkan.
“Kita akan berasa tenang jika kita selalu memberi makan kepada orang susah atau miskin malah mengusap kepala anak-anak yatim juga boleh memberi ketenangan kepada diri kita,” tambahnya.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP